suria

Audit: 19 Pegawai Awam Kena Tindakan Tatatertib

Sesi Bersama Media susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2 di Putrajaya, Rabu. Foto MOHD SAHAR MISNI

PUTRAJAYA: Hasil Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2, seramai 19 pegawai awam mempunyai asas untuk dimulakan prosiding tatatertib, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata, jumlah pegawai terbabit berdasarkan 18 daripada 42 teguran punitif yang merujuk kepada penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian semasa menjalankan tugas.

“Manakala lapan teguran tiada unsur penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas tetapi sebaliknya memerlukan penambahbaikan sistem, prosedur dan peraturan semasa.

“Sebanyak 16 teguran lagi masih dalam siasatan. Di samping itu, satu hasil pengauditan akan disiasat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Bersama Media susulan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2 di sini, Rabu.

Terdahulu dalam pembentangannya, Ali berkata, secara keseluruhannya terdapat 944 teguran iaitu 902 teguran pembetulan yang merujuk kepada penambahbaikan sistem dan 42 teguran punitif.

Beliau menambah, 42 teguran punitif itu melibatkan 10 teguran punitif bagi enam kementerian, (17) lima badan berkanun persekutuan dan (15) lapan kerajaan negeri. 

Enam kementerian berkenaan adalah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,  Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Jabatan Perdana Menteri.

Lima badan berkanun persekutuan melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagi kerajaan negeri, Ali berkata, teguran punitif melibatkan Majlis Perbandaran Bentong dan Majlis Daerah Cameron Highlands, Pahang; Majlis Daerah Baling dan Majlis Daerah Sik, Kedah; Majlis Perbandaran Kuala Kangsar dan Majlis Daerah Selama, Perak dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor dan Majlis Daerah Tenom dan Nabawan, Sabah, Majlis Daerah Tumpat dan Majlis Daerah Machang, Kelantan. 

Menurut Ali, teguran terhadap kerajaan negeri turut termasuk pengurusan projek pembangunan dan pembaikan sekolah agama, Negeri Sembilan dan pengurusan syarikat MITC Bowlplex Sdn Bhd, Melaka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain