suria

Petisyen #BebasMaria Capai Sasaran 40,000 Tandatangan

PETALING JAYA: Petisyen dalam talian membantah penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) ketika menahan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah kini mencapai sasaran 40,000 tandatangan.

Petisyen #MansuhSOSMA dan #BebasMaria menerusi ipetition.com mendesak pembebasan Maria dan pemansuhan Sosma.

"Ketika membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen pada 2011, kerajaan memberi jaminan dan berjanji Sosma tidak akan digunakan terhadap pihak yang berlainan ideologi politik tetapi kini terbukti pentadbiran yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingkari janji.

"Dengan jelas ia penyalahgunaan kuasa eksekutif dan perundangan," demikian menurut petisyen itu.

Menerusi ruang komen yang disediakan, beberapa pihak menyuarakan sokongan terhadap Maria dan meminta supaya dia dibebaskan.

"Bebaskan dia. Dia bukan pengganas. Dia hanya cuba menyelamatkan negara ini. Tolong jangan salah gunakan kuasa.

"Sosma untuk pengganas, bukan pihak yang berkempen untuk demokrasi," kata Malek Ali.

Sherlene Qua pula berkata, Bersih 2.0 hanya mahukan kerajaan dan pilihan raya yang bersih dan adil serta bebas rasuah.

"Maria mengetuai Bersih dan perlukan dia ditahan mengikut perundangan untuk pengganas," kata Qua.

Maria ditahan pada Jumaat lalu mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana kesalahan cubaan melakukan kegiatan yang boleh mengganggu gugat demokrasi berparlimen.

Bagaimanapun pada keesokkannya dia ditahan mengikut Sosma 
kerana Seksyen 124C adalah dibawah kesalahan keselamatan.

Maria kini ditahan di lokasi yang dirahsiakan dan tempoh penahanannya boleh berlarutan sehingga 28 hari mengikut Sosma.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain