Pesawat diparkir di Bandara Internasional Soekarno-Hatta di Tangerang, Indonesia susulan penyebaran abu Anak Krakatau. -Foto AP
OPERASI Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (Soetta) di Tangerang, Indonesia terus terjejas akibat penyebaran abu gunung berapi Anak Krakatau.Berdasarkan laporan, ruang udara lokasi terbabit masih terjejas dan berpotensi mendatangkan risiko terhadap keselamatan penerbangan. Susulan itu, penutupan operasinya dilanjutkan sehingga pukul 11.59 malam Isnin.AirNav Indonesia dalam perkembangan terbaharu memaklumkan, status penutupan lapangan terbang berkenaan berkuat kuasa pukul 5.33 petang hingga 11.59 malam waktu tempatan pada Isnin.Ia dibuat menerusi Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) A3387/26 yang menggantikan NOTAM terdahulu, A3373/26.Sebelum ini, operasi Lapangan Terbang Soetta dijangka ditutup sehingga pukul 6 petang pada hari sama.Bagaimanapun, tempoh tersebut terpaksa dilanjutkan selepas mengambil kira perkembangan ruang udara serta pergerakan abu gunung berapi Anak Krakatau yang masih memerlukan pemantauan.Setiausaha Korporat Eksekutif AirNav Indonesia, Hermana Soegijantoro berkata, pelarasan tempoh penutupan itu merupakan langkah mitigasi bagi memastikan keselamatan penerbangan terus terjamin.Menurutnya, AirNav Indonesia akan terus memantau keadaan ruang udara dan pergerakan abu gunung berapi sebelum sebarang keputusan mengenai pembukaan semula lapangan terbang dibuat.Tambahnya, maklumat berkaitan operasi penerbangan juga akan dikemas kini berdasarkan keadaan semasa serta penilaian terhadap aspek keselamatan.Selain melakukan pemantauan, AirNav Indonesia turut berkoordinasi dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor penerbangan.Langkah itu bagi memastikan maklumat mengenai keadaan ruang udara dan perkhidmatan navigasi penerbangan dapat disampaikan kepada pihak berkaitan dengan segera.-Agensi