suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tak hirau ‘amukan’ Anak Krakatau, pelancong tetap banjiri Pantai Carita… Bersantai ‘nikmati’ hujan abu vulkanik

Ketua Sukarelawan KSB Provinsi Banten, Beni Madsira bersama Balawista melakukan rondaan di kawasan pelancongan Pantai Carita, Kabupaten Pandeglang pada Ahad.

BUNYI dentuman kuat dan gegaran akibat letusan Gunung Anak Krakatau yang melanda kawasan pesisir pantai tidak sedikit pun menggentarkan ratusan pelancong untuk terus membanjiri Pantai Carita di Pandeglang, Banten, Indonesia.

Pantai Carita yang terletak kira-kira 40 kilometer secara garis lurus dari Gunung Anak Krakatau, merupakan antara destinasi pelancongan yang menerima kesan daripada letusan gunung berapi berkenaan.

Pada Jumaat dan Sabtu lalu, penduduk di kawasan pesisir dilaporkan sukar tidur selepas mendengar bunyi dentuman selain merasai gegaran kuat akibat aktiviti Anak Krakatau.

Bagaimanapun, kawasan Pantai Carita kekal dikunjungi orang ramai selepas pihak berkuasa termasuk Badan Geologi Indonesia dan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG)  mengesahkan situasi masih terkawal.

Pemandangan luar biasa itu jelas kelihatan pada Ahad apabila ratusan pelancong bersantai di Pantai Carita biarpun Anak Krakatau baru sahaja menunjukkan peningkatan aktiviti letusan yang menakutkan.

Ketua Forum Komunikasi Relawan Kampung Siaga Bencana (KSB), Beni Madsira berkata, anggota sukarelawan KSB bersama Badan Penyelamat Wisata Tirta (Balawista) menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan tumpuan pelancong.

"Kami berada di kawasan Carita, tepatnya di Pantai Lagundi dan hasil pemantauan mendapati keadaan selamat serta terkawal.

"Pengunjung juga masih datang ke destinasi pelancongan di Pantai Carita," katanya pada Ahad.

Menurut Beni, beberapa lokasi termasuk Pantai Pasir Putih Carita dan Pantai Karangsari masih menerima kunjungan pelancong dengan aktiviti berjalan seperti biasa.

Dalam pada itu, pasukan keselamatan turut menasihatkan pengunjung supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi diri daripada abu vulkanik.

"Kami bersama Balawista turut memberi penerangan kepada pengunjung supaya terus memakai pelitup muka dan pelindung mata seperti cermin mata.

"Ini merupakan saranan kerajaan kerana letusan kali ini menyebabkan abu vulkanik tersebar dan ia boleh mendatangkan bahaya," katanya.

Berdasarkan pemantauan secara visual, taburan abu vulkanik di sekitar Carita dilaporkan semakin berkurangan.

Namun keadaan berbeza dilaporkan di beberapa kawasan lain termasuk Mandalawangi, Cikedal dan Patia yang menerima taburan abu lebih tebal.

Menurut Beni, kawasan pelancongan di Pantai Carita dan Labuan masih selamat untuk dikunjungi setakat pemantauan dilakukan.

"Kunjungan pelancong ke Pantai Carita dan Labuan masih selamat. Kehadiran kami adalah untuk melaksanakan arahan gabenor, timbalan gabenor serta bupati dan timbalan bupati supaya pemantauan terus dilakukan selepas letusan Gunung Anak Krakatau," katanya. -Agensi

Artikel Lain