Penumpang terkandas di lapangan terbang susulan penutupan beberapa airport di Indonesia akibat abu vulkanik Gunung Anak Krakatau. -Foto Reuters
ABU vulkanik daripada Gunung Anak Krakatau menyebabkan lapan lapangan terbang di Indonesia ditutup sementara, sekali gus menjejaskan kira-kira 150,000 penumpang dan 467 penerbangan.Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi berkata, jumlah lapangan terbang yang ditutup meningkat daripada enam kepada lapan susulan pergerakan abu gunung berapi berkenaan. Menurutnya, data terkini daripada Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) pada pukul 5 petang (waktu tempatan) mendapati abu vulkanik itu bergerak ke arah timur pada kelajuan lima knot pada ketinggian 15,000 kaki.Sebelum itu, abu berkenaan dilaporkan bergerak ke arah barat menuju ke Lautan Hindi."Selepas melakukan koordinasi, kami memutuskan untuk menutup kesemua lapan lapangan terbang sehingga tengah malam."Kami akan melihat semula keadaan pada tengah malam nanti," katanya kepada pemberita di Terminal 1B Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta pada Ahad.Pada awalnya, enam lapangan terbang ditutup sementara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Banten, Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta, Lapangan Terbang Radin Inten II di Lampung dan Lapangan Terbang Husein Sastranegara di Jawa Barat.Turut terlibat ialah Lapangan Terbang Budiarto dan Lapangan Terbang Pondok Cabe di Banten.Penutupan itu kemudiannya diperluaskan kepada Lapangan Terbang Taufik Kiemas dan Lapangan Terbang Atung Bungsu di Sumatera Selatan, menjadikan keseluruhan lapan lapangan terbang terpaksa menghentikan operasi sementara.Dudy berkata, pemeriksaan dilakukan setiap 30 minit di lapangan terbang yang terletak lebih jauh ke timur di seluruh Pulau Jawa bagi memantau sama ada abu gunung berapi itu semakin merebak atau berkurangan.Sebagai langkah alternatif, Lapangan Terbang Kertajati, Semarang, Juanda, Yogyakarta dan Solo dibuka untuk beroperasi selama 24 jam.Kemudahan pengangkutan darat termasuk perkhidmatan kereta api turut disediakan kepada penumpang sekiranya syarikat penerbangan memilih untuk menggunakan lapangan terbang alternatif tersebut.Daripada keseluruhan 467 penerbangan yang terjejas, sebanyak 409 membabitkan penerbangan domestik manakala 58 lagi adalah penerbangan antarabangsa.Menurut Dudy, syarikat penerbangan kini sedang menguruskan penumpang yang terjejas, termasuk menyediakan penginapan di hotel dalam beberapa keadaan. -The Star