SEBUAH masjid yang dibina secara haram di atas tanah kerajaan mula dirobohkan pada awal pagi Sabtu selepas mahkamah mengekalkan perintah berhubung tindakan tersebut. Operasi perobohan itu dijalankan di Kompleks Pejabat Daerah Saharanpur, Uttar Pradesh, India dengan kawalan keselamatan ketat apabila kelima-lima pintu masuk ditutup dan orang awam tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.Pasukan Tindakan Pantas (RAF) turut dikerahkan bersama anggota polis tempatan dan pasukan tambahan dari daerah lain bagi mengawal keadaan.Bagi memastikan kerja-kerja perobohan berjalan lancar, jentera berat termasuk jengkaut dan lori pengangkut sisa dibawa masuk ke kompleks tersebut pada malam sebelumnya.Malah pegawai kanan polis serta pihak pentadbiran hadir di lokasi sejak kerja merobohkan struktur dilakukan awal pagi.Timbalan Ketua Polis Saharanpur, Abhishek Singh berkata, Mahkamah Majistret Bandar sebelum ini mendapati struktur berkenaan dibina tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan.Susulan itu, rayuan dikemukakan Jawatankuasa Masjid terbabit.Namun ia ditolak, sekali gus membuka laluan kepada pihak pentadbiran untuk melaksanakan perintah perobohan.Tambah Abhishek, semua langkah pencegahan telah diambil bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara dan tindakan tersebut dilaksanakan mengikut proses undang-undang.Terdahulu, pertikaian mengenai masjid berkenaan bermula selepas bekas penyelaras wilayah Bajrang Dal, Vikas Tyagi membuat aduan berkaitan pembinaan struktur tersebut.Susulan aduan itu, satu petisyen mengikut Akta Premis Awam (Pengusiran Penghuni Tanpa Kebenaran) difailkan di Mahkamah Majistret Bandar pada 24 Mac 2025.Pada 16 Julai 2026, mahkamah memutuskan masjid tersebut dibina secara haram selain mengenakan penalti sebanyak 64.1 juta rupee (kira-kira RM3 juta).Pihak masjid kemudiannya mencabar keputusan berkenaan di Mahkamah Hakim Daerah pada 20 Julai 2026.Tindakan tersebut menyebabkan kes itu melalui 17 prosiding sebelum keputusan dibuat pada 2 September lalu.Mahkamah Hakim Daerah akhirnya mengekalkan keputusan terdahulu dan menolak petisyen yang dikemukakan pihak masjid. -Agensi