SEORANG wanita bertindak terjun dari sebuah kubu bersejarah bersama tiga orang cahaya matanya selepas dipercayai tertekan dengan pelbagai siksaan mental dari keluarga mentuanya.Dalam kejadian tragis pada Khamis lalu, wanita berusia 30 tahun itu bersama dua anaknya disahkan meninggal dunia manakala seorang lagi anak perempuannya cedera parah. Menurut polis, mangsa Ashwini Manohar Pol yang tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Vhantal membawa anak lelakinya, Ajinkya, 5, serta pasangan kembar perempuan iaitu Veera dan Kranti, 2, ke Kubu Naldurg di Dharashiv, Maharashtra, India.Wanita berkenaan dipercayai terjun bersama ketiga-tiga anaknya dari Upli Bastion yang merupakan puncak tertinggi di kubu bersejarah tersebut.Salah seorang pasangan kembar yang terselamat kini sedang menerima rawatan di hospital akibat kecederaan serius.Sementara itu, polis pada awalnya merekodkan kejadian berkenaan sebagai mati mengejut.Bagaimanapun siasatan berubah selepas bapa mangsa, Tanaji Mohite membuat laporan polis mendakwa mendiang menjadi mangsa gangguan keluarga mentuanya.Selain tidak berpuas hati mangsa melahirkan kembar perempuan, keluarga mentua mangsa didakwa sering membangkitkan isu berkaitan mas kahwin sehingga membuatkan mendiang berada dalam keadaan tertekan.Mangsa turut didakwa dipaksa menyerahkan sejumlah wang dan gelang emas selain menyediakan dana untuk membeli sebuah kenderaan roda tiga.Susulan itu, polis membuka kertas siasatan terhadap suami mangsa selain bapa mentua serta dua saudara wanita keluarga berkenaan.Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS), antaranya berkaitan kematian akibat mas kahwin, bersubahat dalam perbuatan membunuh diri, kekejaman terhadap wanita. -Agensi