TIMBUNAN tanah yang masih kelihatan baharu di sebuah kebun membongkar rahsia hiba berhubung penemuan mayat seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan sehari sebelumnya.Mayat bayi malang tersebut ditemukan dalam keadaan tertimbus di kawasan Bandungan dalam daerah Semarang, Jawa Tengah, Indonesia pada 3 September lalu.Ketua Polis Semarang, AKBP Heru Dwi Purnomo berkata, penemuan kira-kira pukul 3.30 petang itu disedari seorang penduduk yang sedang mencari rumput. Menurutnya, saksi terlihat timbunan tanah mencurigakan ketika berada di kebun milik seorang penduduk lalu mengambil keputusan untuk menggali kawasan berkenaan."Ketika berada di kebun milik penduduk, saksi melihat timbunan tanah yang kelihatan masih baharu."Perasaan curiga membuatkan saksi menggali timbunan tanah berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Susulan tindakannya itu, dia dikejutkan dengan penemuan mayat bayi dalam keadaan terlentang serta dibalut menggunakan pakaian rumah.Alangkah terkejutnya saksi apabila mendapati terdapat mayat bayi dalam keadaan terlentang yang dibalut kemas menggunakan 'baju kelawar'.Penemuan itu segera dilaporkan kepada polis sebelum pegawai Unit Siasatan Jenayah Polis Bandungan dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.Berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa dikenal pasti sebagai bayi perempuan dengan ukuran panjang kira-kira 49 sentimeter dan berat sekitar 3.4 kilogram.Bayi itu dianggarkan dilahirkan kira-kira sehari sebelum mayatnya ditemukan, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesahkan waktu kelahiran serta punca kematian.Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Semarang, AKP M Bodia Teja Lelana mengesahkan bahawa kedua-dua ibu bapa bayi berkenaan sudah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian tersebut."Pelaku sudah ditangkap, iaitu bapa dan ibu bayi berkenaan. Maklumat lanjut akan diberikan dalam kenyataan rasmi," tambahnya. -Agensi