suria

Tun M Di Sudan, Tapi Harap Pulang Ke M'sia Sertai Bersih

PETALING JAYA: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi), Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri persidangan di Sudan tetapi cuba untuk kembali ke tanah air bagi menyertai perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu.

Bagaimanapun, menurut sumber, mantan perdana menteri itu akan mencuba melakukanya dan masih tiada pengesahan sama ada Dr Mahathir berkesempatan untuk menyertai himpunan tersebut tepat pada masa.

Facebook 'Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohamad' memuat naik dua gambar pada Khamis, dengan salah satunya menunjukkan Dr Mahathir di Sudan.

Dipercayai beliau berada di negara itu untuk berucap dalam beberapa persidangan.

Gambar kedua memaparkan poster Dr Mahathir bersama logo Universiti Antarabangsa Afrika di Khartoum.

Rabu lalu, Dr Mahathir muncul dalam satu video yang menggesa rakyat Malaysia supaya menyertai himpunan Bersih.

Dr Mahathir yang berbaju kemeja-T Bersih berkata, rakyat Malaysia seharusnya menunjukkan ketidakpuashatian mereka terhadap kerajaan menerusi penyertaan dalam Bersih di Dataran Merdeka.

"Saya harap semua rakyat Malaysia akan menyertai demonstrasi Bersih," katanya menerusi video berdurasi dua minit.

Pada 2015, Dr Mahathir bersama isteri menghadiri himpunan Bersih 4.0.

Ahad lalu, Dr Mahathir dilihat memakai lencana 'free Anwar' (bebas Anwar) pada Konvensyen Pakatan Harap di Shah Alam.

Dr Mahathir mengharamkan protes dan perhimpunan sepanjang 22 tahun beliau berkhidmat sebagai perdana menteri.

Artikel Sebelum

Maria, Mandeep Disiasat

Artikel Berikut

IIM Cadang Ujian Psikometrik

Artikel Lain