suria

Keputusan Minimum 3A 3B UPSR 2016 Boleh Mohon Ke Tingkatan 1 SBP - KP Pelajaran

Gambar hiasan. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan pada Jumaat menetapkan syarat baharu kemasukan pelajar Tingkatan Satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi tahun 2017, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Beliau berkata, dasar pengambilan murid itu ditetapkan kepada pencapaian akademik sekurang-kurangnya 3A dan 3B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Katanya, penambahbaikan kepada dasar dan kriteria pengambilan murid ke SBP 2017 telah disediakan dengan mengambil kira format peningkatan kualiti UPSR 2016.

"Bagaimanapun, kedudukan pemilihan dan penetapan murid di SBP tidak bergantung semata-mata kepada pencapaian akademik atau skor merit akademik. Penempatan murid juga akan mengambil kira Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum.

"Pentaksiran Sekolah dan Pentaksiran Psikometrik juga akan dijadikan sebagai rujukan utama dalam saringan pemilihan murid ke SBP," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan dan Microsoft Malaysia di sini.

Setakat ini, Khair berkata, pihaknya telah menerima hampir 60,000 permohonan dalam talian bagi kemasukan Tingkatan Satu SBP 2017.

"Sebanyak 69 SBP akan menyediakan 9,000 tempat kepada murid-murid yang berjaya ditawarkan ke Tingkatan Satu pada tahun depan," katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata, pihaknya amat menghargai akan kepercayaan dan hasrat murni ibu bapa yang meletakkan SBP sebagai titik perubahan kepada masa hadapan murid, keluarga serta masyarakat secara amnya.

"Oleh itu, KPM berharap agar ibu bapa dan murid-murid yang berhasrat untuk masuk ke SBP tahun 2017 tidak perlu berasa bimbang kerana pemilihan tersebut akan dilakukan secara adil.

"Pemilihan itu juga berdasarkan profil pencapaian murid berkenaan secara menyeluruh berlandaskan pencapaian menerusi PBS tersebut," katanya.

Kepada soalan sama ada UPSR akan dijadikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), Khair berkata: "Pihaknya telah memulakan pentaksiran asas sekolah yang merupakan komponen PBS, psikometrik, jasmani dan kokurikulum. USPR masih ada lagi.

"Sekarang, kita masih berbincang sama ada UPSR masih dikekalkan sebagai peperiksaan pusat atau hanya berasaskan sekolah. Itulah..perubahan akan berlaku sekiranya ia betul-betul diadakan," katanya.

Ditanya sama ada 9,519 calon yang memperoleh semua E akan dibenarkan kekal di Tahun Enam dan memperbaiki diri sebelum ke Tingkatan Satu, Khair berkata: "Kita tidak akan tahan mana-mana pelajar dan semua boleh meneruskan ke Tingkatan Satu. 

"Sekolah akan melengkapkan maklumat tentang pelajar termasuk aspek fizikal dan kecenderungan serta menyalurkan maklumat kepada (mana-mana) sekolah menengah untuk merangka program dan intervensi yang sesuai," katanya. - Bernama

UPSR

Artikel Sebelum

IIM Cadang Ujian Psikometrik

Artikel Berikut

Artikel Lain