suria

UPSR: Jangan Kejar 'A' - Pengarah Lembaga Peperiksaan

Pengarah Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia, Datin Nawal Salleh semasa semasa sidang media bagi memberi penjelasan mengenai keputusan UPSR di Kementerian Pendidikan, Jumaat. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: "Jangan terlalu kejar 'A'," demikian kata Pengarah Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, Datin Nawal Salleh kepada ibu bapa dan guru kepada murid-murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Nawal berkata, selepas kertas peperiksaan UPSR diubah kepada format baharu tahun ini, masyarakat perlu lebih terbuka dan mengubah persepsi terhadap keputusan seseorang murid itu dengan melihat kepada pencapaiannya secara keseluruhan.

"UPSR ini sejak akhir-akhir ini seolah-olah menjadi satu polemik. Masyarakat melihat apabila anak-anak menduduki UPSR, bukan mahu lihat pencapaian, tetapi diukur dari segi berapa banyak 'A'.

"Kita tak boleh gunakan keputusan peperiksaan ini untuk menggambarkan kehebatan anak itu, kecuali kita mengambil pendekatan bahawa ada pelaporan-pelaporan lain yang boleh mempamerkan kecemerlangan anak ini seperti pentaksiran kokurikulum, pentaksiran sekolah dan pentaksiran psikometrik," katanya pada sidang media khas bagi memberi penjelasan mengenai keputusan UPSR yang diumumkan pada Khamis.

Menurut Nawal, kecemerlangan murid perlu dilihat kepada ilmunya secara menyeluruh, termasuk pembangunan kemahiran, bakat dan nilai-nilai murni.

"Yang perlu kita kejar itu adalah ilmu, kemahiran dan penerapan nilai-nilai murni. Apa yang berlaku sekarang kita seolah-olah mengejar A, kalau kita kejar ilmu, 'A' itu akan datang, tapi bila kejar 'A' dan tak dapat, itu yang kita marah.

"Mengejar ilmu itulah yang akan menentukan 'A' itu berada di tempatnya," katanya.

Menurut Nawal, tanggapan bahawa kementerian kerap membuat perubahan format juga tidak benar kerana UPSR mengambil kesempatan daripada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KKSR) dengan memasukkan unsur-unsur kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Katanya, perubahan format juga tiada kena mengena dengan politik atau perubahan menteri yang bertanggungjawab.

"Apa yang kita sediakan dalam peperiksaan ini adalah hasrat pendidikan semata-mata dengan melihat falsafah melahirkan modal insan berkualiti dan empat aspek iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek," katanya.

Beliau turut menggesa guru besar agar tidak menjadikan sekolah sebagai entiti untuk menunjukkan kecemerlangan guru-guru atau sekolah melalui keputusan UPSR.

"Kita bimbang ada sekolah tidak memanfaatkan data keputusan peperiksaan sebab terlalu tumpu kepada 'A'. Kita minta mereka manfaatkan data sebaik mungkin," katanya.

Artikel Sebelum

Polis Serbu Pejabat Bersih

Artikel Lain