suria

Sidang DUN Terengganu Bermula, Adun Diingatkan Ikut Peraturan

KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bermula pada pukul 9.35 pagi Isnin dengan Speaker Datuk Mohd Zubir Embong mengingatkan semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) supaya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.

Beliau mengingatkan mereka supaya menghormati satu sama lain, sambil menambah bahawa mereka tidak sepatutnya menyakiti hati dan perasaan orang lain.

"Apa yang kita akan lakukan hari ini akan dilihat oleh semua orang, termasuk pemerhati, majoriti daripada mereka adalah pelajar universiti.

"Saya harap semua orang akan menjadi contoh kepada mereka dan memainkan peranan untuk kepentingan negeri dan rakyat," kata beliau.

Persidangan kemudian diteruskan.

Suasana di Wisma Darul Iman pagi Isnin kelihatan tenang.

Tahap keselamatan juga ketat. Buat pertama kali, pemeriksaan imbasan dijalankan di pintu masuk dewan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Terdapat beberapa kemungkinan yang akan berlaku daripada persidangan hari ini, termasuklah jika Adun Kijal Datuk Seri Ahmad Said akan mencetuskan satu lagi kontroversi seperti yang dilakukannya pada persidangan 8 Mac lalu.

Mohd Zubir masih belum menerima sebarang notis usul daripada Ahmad Said untuk persidangan yang berjalan selama sehari ini.

Notis perlu diberi 14 hari sebelum persidangan.

Mohd Zubir berkata, notis yang sewajarnya perlu diberikan untuk sebarang usul dan perkara ini telah dinyatakan dengan jelas pada sidang terakhir, Mac lalu apabila Ahmad Said cuba untuk membentangkan usul tergempar, yang kemudiannya ditolak.

Speaker berkata situasi mungkin berbeza jika Ahmad Said telah mengemukakan notis mengikut tempoh pada kali ini.

Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman kelihatan yakin bahawa sidang DUN dapat diteruskan tanpa terlalu banyak masalah.

Beliau sebelum ini berkata persengketaan antara dirinya dan Ahmad Said telah diselesaikan, sambil menambah pergolakan politik antara kedua-duanya hanyalah persengketaan antara adik dan abang atau masalah dalaman semata-mata.

Ahli perniagaan, Mishesh Ramesh, yang datang untuk memberi sokongan, berharap Ahmad Said dapat memaafkan dan melupakan semua masalah peribadi beliau dengan Ahmad Razif dan memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan negeri bagi meningkatkan kemajuan.

"Mereka perlu bekerja sebagai sebuah keluarga," katanya kepada The Star.

Mohd Sahari Musa, 51, selaku pemerhati berkata beliau berharap semuanya akan berjalan dengan baik pada persidangan hari ini.

"Kami mahu ini persidangan ini menjadi tempat untuk membincangkan perkara berkaitan dengan rakyat," katanya.

Jika Ahmad Said mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti, kerusi Barisan Nasional akan dikurangkan daripada 17 kepada 16. Pembangkang pula hanya memerlukan satu kerusi untuk menjadikannya 16.

Jika situasi ini berlaku, DUN tergantung akan berlaku di Terengganu dan perkara itu akan diketahui pada hari ini.

Semua Adun hadiri untuk persidangan ini kecuali Adun Rhu Rendang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi, yang juga Presiden PAS sedang berada di Turki untuk menghadiri satu majlis rasmi.

Ketua Pertubuhan Kebajikan Amal Maaruf Pribumi Ahmad Shukri Abdullah hadir untuk menunjukkan sokongan daripada organisasi bukan kerajaan.

Beliau berkata Ahmad Razif berjaya dalam pentadbiran negeri ini dan telah meningkatkan kebajikan rakyat.

"Kami mahu dia terus berkhidmat dan menyelesaikan semua isu," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain