suria

Tiga, Termasuk Seorang Wanita Hamil Terbunuh Dalam Kemalangan

PETALING JAYA: Tiga orang, termasuk seorang wanita hamil terbunuh apabila mereka tercampak keluar daripada sebuah kereta dalam kemalangan ngeri di Taman Puchong Utama.

Warga Indonesia, Ning Tiyas dan Lancy, serta suami Ning dari Malaysia yang dikenali hanya sebagai Azni, 42, meninggal dunia apabila kereta mereka merempuh papan iklan dan terjunam ke dalam parit besar.

Pemandu dipercayai hilang kawalan kenderaan semasa dalam perjalanan ke sebuah majlis kenduri di Taman Equine, Serdang. Ning sedang hamil enam bulan.

Kereta tersebut yang remuk teruk ditemui di dalam parit sedalam empat meter.

Rakan mereka yang hanya dikenali sebagai Alfin, 34, berkata Lancy telah melawat Malaysia dan sepatutnya kembali ke Indonesia, Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata anggotanya tiba di tempat kejadian untuk mencari mayat mangsa.

"Mayat-mayat tercampak keluar daripada kenderaan. Salah satu mayat telah dijumpai beberapa meter dari tempat kereta itu ditemui.


"Mangsa mungkin dibawa arus dalam parit," katanya.

Sebuah pasukan perubatan dari Hospital Serdang mengesahkan kematian mangsa, kata Mohd Sani, sambil menambah jabatan itu telah dipanggil untuk mengeluarkan mayat kira-kira pukul 10.05 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Lee Swee Meng mengesahkan kejadian dan berkata kedua-dua wanita itu berusia 20 dan 21 tahun.

Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. Kes itu disiasat kerana memandu dengan cuai.

Artikel Lain