suria

KWSP Buka Pendaftaran Simpanan Syariah

Eksekutif Jabatan Hal Ehwal Korporat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nurul Araayah Shahruddin menyusun risalah mengenai Simpanan Shariah selepas pengumuman mengenai simpanan itu baru-baru ini. -fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mahu menukar simpanan konvensional KWSP mereka kepada Simpanan Syariah boleh berbuat demikian mulai Isnin.

Simpanan Syariah KWSP, yang akan dilancarkan pada Januari, kini dibuka kepada semua ahli untuk pendaftaran di cawangan KWSP seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata bahawa pilihan untuk beralih kepada Simpanan Syariah keseluruhannya terpulang kepada ahli dan menasihati mereka untuk memahami sepenuhnya prinsip-prinsip syariah sebelum membuat keputusan bertukar daripada simpanan konvensional KWSP semasa.

Ahli-ahli yang ingin menukar simpanan KWSP konvensional mereka kepada Simpanan Syariah perlu pergi sendiri ke mana-mana cawangan KWSP dan membawa MyKad mereka untuk pengesahan cap jari. Warganegara asing yang menjadi ahli perlu membawa pasport mereka.

"Hari ini merupakan peristiwa bersejarah bagi KWSP kerana kita memulakan pendaftaran untuk Simpanan Syariah," kata Shahril Ridza dalam satu kenyataan, Ahad.

Simpanan Syariah mempunyai saiz dana sebanyak RM100 bilion, bersamaan dengan kira-kira 15 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP yang berjumlah RM681.71 bilion pada akhir Mac 2016.


Ia dibuat berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat. Untuk layak beralih kepada Simpanan Syariah 2017, ahli-ahli perlu mengemukakan permohonan sehingga 23 Disember dan ia tertakluk kepada ketersediaan dana.

Bagi majikan, sumbangan dan proses penguatkuasaan semasa tetap sama.

Tiada perubahan atau borang tambahan perlu dilengkapkan majikan jika pekerja mereka memilih Simpanan Syariah.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pilihan skim ini tidak boleh diubah semula kepada skim konvensional yang sedia ada.

Untuk maklumat lanjut mengenai Simpanan Syariah, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi talian 03-89226000.

Artikel Lain