suria

Siasatan 1MDB Tidak Perlu Diadakan Semula - PAC

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak perlu diadakan semula, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin.

Ini, katanya, memandangkan PAC sudah membentangkan laporan yang komprehensif dan dipersetujui secara konsensus oleh semua anggota jawatankuasa itu sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 April lepas.

"Malah, perkara-perkara yang dibentangkan PAC dalam Laporan Pengurusan Kawalan Urus Tadbir Syarikat 1MDB turut dilapor dan diambil media massa serta portal-portal berita dalam dan luar negara.

"Rumusan PAC dalam laporan berkenaan jelas meminta agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan 1MDB yang bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Beberapa pihak telah menggesa supaya siasatan berhubung 1MDB diadakan semula susulan tindakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada Julai lepas memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan. - Bernama

1MDB, PAC

Artikel Lain