suria

Ghazali Taib Terus Sokong Kepimpinan Ahmad Razif

Ghazali Taib.

KUALA TERENGGANU: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Ghazali Taib pada Isnin menyatakan komitmennya untuk terus menyokong kepimpinan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman menerajui negeri ini.

Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau mengharapkan kepimpinan sedia ada akan terus kukuh dan tiada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus pilihan raya negeri.

"Biasalah kami semua satu pasukan dan satu kepimpinan serta kepimpinan negeri sekarang berjalan macam biasa dan lancar," katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi rehat Sidang DUN Terengganu bagi penggal keempat di Wisma Darul Iman pada Isnin.

Kemelut politik di Terengganu menjadi tumpuan apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Adun Kijal dan Ghazali mengkritik kepimpinan Ahmad Razif.

Baru-baru ini beberapa akhbar tempatan melaporkan Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri meminta kepimpinan tertinggi Umno mengambil tindakan segera menyelesaikan kemelut pentadbiran negeri yang didakwanya gagal berfungsi sehingga memberikan kesan kepada rakyat.

Ghazali berkata, laporan kemelut itu telah disensasikan media sedangkan tiada sebarang masalah dan berjalan dengan baik. 

"Biasalah adik-beradik saling ingat mengingati ... media sukakan (benda) sensasi, jadi benda yang saya bagi tahu adalah benda yang baik tetapi diambil peluang pihak yang mengharapkan kehangatan," katanya.

Sementara itu, Adun Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, kesemua barisan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tetap bermuafakat menghadapi sebarang masalah dalam pentadbiran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu berkata, persidangan DUN yang berlangsung lancar pada Isnin dengan tiada usul tergempar membuktikan laporan kemelut itu sekadar digembar-gemburkan tanpa asas kukuh pihak tidak bertanggungjawab.

"Isu hari ini selesai ...tidak ada apa-apa yang berlaku ...kesemua 17 kita (Adun Barisan Nasional) datang. Kadang-kadang kebebasan IT (teknologi maklumat) ini menyebabkan pelbagai andaian tersebar," katanya.

Ditanya mengenai sokongannya kepada Ahmad Razif, beliau berkata: "Kita semua ini duduk dalam kerajaan yang ada ketua dan satu pasukan. Jadi kita kena jaga parti".

Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat pula meminta agar semua pihak tidak lagi menggembar-gemburkan krisis politik di Terengganu selepas ini kerana yakin kesemua Adun boleh berkhidmat dengan baik untuk rakyat.

"Jadi rakyat tidak perlu risau serta gusar kerana kerajaan negeri masih mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik," katanya.

Rozi berkata kesemua wakil rakyat (BN) memberikan sokongan kepada kepimpinan kerajaan negeri sedia ada malah perbahasan dibuat secara matang dan positif.

"Semua pihak memainkan peranan masing-masing yang mana pihak kerajaan memainkan peranan sebagai kerajaan memerintah manakala pembangkang dengan peranan mereka," katanya. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain