suria

Bahan Kimia Pecah: 22 Pelajar Sekolah Alami Alahan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 pelajar Sekolah Menengah Islam IQ Kuala Lumpur dekat sini mengalami alahan pada kulit selepas balang mengandungi bahan kimia pecah dan tumpah di makmal sekolah itu pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, balang mengandungi bahan kimia jenis Asid Sulfurik Bromine pecah ketika sesi pembelajaran berlangsung.  

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian, kesemua pelajar dan guru diarahkan keluar dari makmal berkenaan.

Katanya, 14 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas serta Pasukan Unit Pasukan Menangani Bencana Bahan Kimia (Hazmat) ke lokasi kejadian. 

"Seramai 17 pelajar lelaki dan lima pelajar wanita dikesan mengalami gatal-gatal pada kulit tangan. 

"Anggota bomba menasihatkan kesemua pelajar itu segera mandi dan juga minum susu segar bagi mengelak kesan sampingan," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Beliau berkata, bahan kimia yang tumpah itu berjaya dibersihkan kira-kira 30 minit kemudian dan kesemua pelajar dibawa ke Pusat Perubatan Damansara untuk pemeriksaan. - Bernama

Artikel Lain