suria

Polis Tunggu Lampu Hijau Ambil Keterangan Huckle

KUALA LUMPUR: Polis sedang menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa Britain untuk mengambil keterangan pesalah pedofilia Richard Huckle mengenai mangsa serta rakan sejenayahnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata permohonan itu dibuat melalui proses 'mutual legal assistance' yang melibatkan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar.

"Tujuan temu bual Richard Huckle bukan sahaja untuk kumpul maklumat mangsa tetapi bagi mengetahui mengenai rakan sejenayahnya yang mungkin ada di luar sana dan menyasarkan anak kecil untuk dijadikan mangsa," katanya.

Beliau berkata pihaknya mahu mengumpul maklumat rakan sekongkol pesalah pedofilia warga Britain bagi tujuan mengenal pasti mangsa pedofilia di negara ini.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bungkusan kuih raya kepada ketua-ketua jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diagihkan kepada anggota yang bertugas pada hari lebaran di sini, Isnin.

Pada 6 Jun lepas, Huckle dihukum penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London kerana kesalan pencabulan seksual ke atas 23 kanak-kanak di Malaysia serta bayi dan kanak-kanak di Kemboja dalam tempoh hampir satu dekad.

Media Britain melaporkan Huckle, 30, dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup dan akan meringkuk dalam penjara sekurang-kurangnya 23 tahun atas jenayah yang dilakukannya terhadap mangsa yang berasal dari keluarga miskin berusia enam bulan hingga 11 tahun.

Huckle mengaku bersalah terhadap 71 kesalahan dan polis menemukan lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.

Baru-baru ini media Britain melaporkan Huckle, seorang jurufoto bebas, mungkin melakukan penderaan seksual melibatkan 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.

Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kebanyakan mangsa adalah daripada golongan miskin di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain