suria

JKM Cari Ibu Kandung Kanak-Kanak Dirantai

GEORGE TOWN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih berusaha mengesan ibu kandung kanak-kanak lelaki yang diikat dengan rantai besi tanpa pakaian oleh bapanya di tangga sebuah flat di Paya Terubung, di sini Sabtu lepas.

Pengarah JKM Pulau Pinang, Said Sidup, berkata berdasarkan maklumat, wanita rakyat tempatan berusia 30-an itu telah lama tidak menemui anak lelakinya yang berusia lapan tahun itu.

"Selepas ibu dan bapa kanak-kanak itu bercerai, dia tinggal bersama bapanya manakala seorang lagi adik perempuannya berusia enam tahun tinggal dengan wanita berkenaan.

"Keluarga kanak-kanak itu juga tidak tahu di mana wanita berkenaan tinggal kerana telah terputus hubungan," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak lelaki itu kini berada di Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan dan diberikan kaunseling oleh JKM bagi memulihkan emosinya.

"JKM sedang mencari ibu kanak-kanak itu untuk melihat sama ada wanita berkenaan boleh menjaga anaknya selepas ini tetapi jika tidak dapat dikesan, kanak-kanak itu mungkin akan ditempatkan di bawah jagaan JKM buat sementara," katanya.

Said berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung wanita itu boleh menyalurkannya kepada JKM atau polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid, berkata bapa kanak-kanak itu telah dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi selepas pihaknya mengambil keterangan daripadanya.

Akhbar pada Isnin melaporkan seorang kanak-kanak lelaki yang dalam keadaan bogel diikat dengan rantai besi di tangga rumahnya di sebuah flat di Paya Terubung selama lima jam oleh bapanya sebagai hukuman kerana nakal. - BERNAMA


rantai, ibu kandung, Paya Terubung

Artikel Lain