suria

Warga Emas Hilang Di Bukit Mentok, Kemaman

- Gambar hiasan
KEMAMAN: Seorang warga emas dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah setelah memasuki hutan di belakang rumahnya pada pagi Sabtu lepas di Kampung Tanjung Bukit Mentok, di sini.

Mangsa, Abdullah Besar, 60, dikatakan menghidap gangguan mental.

Menurut Muhammad Hakim Razali, 27, bapa saudaranya itu biasanya setiap kali sakitnya menyerang, akan masuk ke dalam hutan tetapi tetap balik semula ke rumah dua tiga jam kemudian.

"Hari itu dia keluar dari rumah dalam keadaan muka marah dan meluru masuk ke dalam hutan di belakang rumah seperti mengejar sesuatu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Menurutnya selepas 24 jam bapa saudaranya tidak muncul dia telah membuat laporan di Balai Polis Chukai pada Ahad lalu.

Susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan sejak tiga hari lalu oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kemaman dengan dibantu penduduk kampung.

Pegawai Operasi BBP Chukai, PBK II Mat Daling Mat Dahan berkata, radius pencarian mangsa diperluaskan ke kawasan sekitar tiga kilometer dari rumah mangsa.

"Kita memperluaskan kawasan pencarian dalam operasi yang memasuki hari ketiga ini..selain kita juga buat rondaan di sepanjang sungai yang terletak di kira-kira dua kilometer dari rumah mangsa.

"Operasi SAR hari ketiga melibatkan kekuatan dua buah bot, 12 pegawai dan anggota bomba termasuk empat dari Unit K9, tiga JPAM Kemaman dan 10 penduduk kampung," katanya.

Artikel Lain