suria

Mayat Kelima Ditemui Sah Ahli Parlimen Kuala Kangsar - Hishammuddin

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KUCHING: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan mayat kelima mangsa nahas helikopter yang dijumpai petang Sabtu ialah Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Beliau turut mengesahkan penemuan mayat keempat yang ditemukan ialah Asmuni Abdullah, suami kepada Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon yang turut terkorban dalam nahas itu.

"Jenazah Datuk Wan diterbangkan dengan pesawat khas ke Ipoh," katanya kepada pemberita di Hospital Umum Sarawak di sini malam tadi.

Turut menziarah di hospital itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Sri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata jenazah Asmuni bersama jenazah pengawal peribadi Noriah iaitu  Ahmad Sobri Harun juga diterbangkan ke Subang dan Terengganu, malam tadi.

"Ada tiga pesawat khas disediakan untuk membawa pulang semua jenazah termasuk mendiang Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai yang telah diterbangkan semalam," katanya.

Sehingga kini lima mayat sudah ditemui dalam tragedi helikopter itu pada Khamis lepas sementara pencarian seorang lagi mangsa iaitu juruterbang Rudolf Rex Ragas akan diteruskan pagi Ahad.

Helikopter itu berlepas dari Betong menghala ke Kuching pada 4.12 petang sebelum terputus hubungan dan hilang tidak lama kemudian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain