suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Cerita dalam penjara cetus kontroversi, Yasin Sulaiman mohon maaf tarik balik kenyataan

Yasin tarik balik kenyataan yang dikeluarkan di podcast.

PENYANYI dan komposer Yasin Sulaiman tampil memohon maaf secara terbuka kepada Jabatan Penjara Malaysia susulan kenyataannya dalam beberapa temu bual podcast yang didakwa mencemarkan nama baik institusi berkenaan.

Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman, 51, berkata dia kesal dengan kenyataan yang dikongsikan berhubung pengalamannya ketika berada di dalam penjara sehingga menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Menurut Yasin, dia mengambil maklum penjelasan yang dibuat oleh Jabatan Penjara Malaysia sebelum memutuskan untuk menarik balik kenyataan tersebut.

Yasin tarik semula kenyataan yang dikeluarkan.

“Saya, Yasin Sulaiman, mengambil maklum penjelasan yang telah dibuat oleh Jabatan Penjara Malaysia berhubung beberapa perkara yang pernah saya kongsikan dalam podcast dan temu bual baru-baru ini mengenai pengalaman saya ketika berada di dalam penjara.

“Selepas mengambil maklum penjelasan Jabatan Penjara Malaysia dan melihat kembali keadaan yang saya lalui ketika itu, saya dengan ini menarik balik kenyataan-kenyataan berkenaan.

“Saya kesal sekiranya perkongsian tersebut telah menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendedahan Yasin Sulaiman isu dadah dalam tirai besi bikin panas, Jabatan Penjara tampil bersuara

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bukan penjenayah“ - Yassin Sulaiman abai pandangan serong status bekas banduan

“Sehubungan itu, saya ingin memohon maaf kepada Jabatan Penjara Malaysia serta para pegawai dan anggotanya atas kekeliruan yang timbul,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Dalam hantaran sama, Yasin turut memuat naik video yang memaparkan dirinya menyampaikan permohonan maaf secara terbuka itu.

Jelasnya, dia tidak menolak kemungkinan apa yang dirasainya ketika berada dalam penjara turut dipengaruhi keadaan kesihatan mentalnya ketika itu.

Yasin menjelaskan dia mengalami masalah bipolar mania sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Saya sedang mengalami episod bipolar mania.

YASIN SULAIMAN

PENYANYI/KOMPOSER

“Saya ingin menjelaskan bahawa perkongsian tersebut dibuat berdasarkan apa yang saya alami dan fahami ketika melalui tempoh berkenaan.

“Pada waktu tersebut, sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia, saya sedang mengalami episod bipolar mania.

“Keadaan saya ketika itu mungkin telah mempengaruhi cara saya melihat, mendengar, memahami dan mentafsir perkara-perkara yang berlaku di sekeliling saya,” katanya.

Yasin tiada niat mahu mencetuskan kontroversi.

Dalam pada itu, Yasin menegaskan perkongsiannya sebelum ini tidak pernah dibuat dengan niat untuk mencemarkan nama baik Jabatan Penjara Malaysia atau memperkecilkan tugas pegawai serta anggota yang bertugas.

“Saya ingin menjelaskan bahawa perkongsian tersebut tidak pernah dibuat dengan niat untuk mencemarkan nama baik Jabatan Penjara Malaysia ataupun memperkecilkan tugas para pegawai dan anggota yang berkhidmat di institusi berkenaan.

“Saya menghargai tugas dan khidmat para pegawai serta anggota Jabatan Penjara Malaysia yang menjalankan amanah dalam menjaga keselamatan, kebajikan dan proses pemulihan penghuni.

Pendedahan Yasin sebelum ini jadi perhatian ramai.

“Dengan penjelasan ini, saya berharap segala kekeliruan yang timbul daripada perkongsian saya sebelum ini dapat diperbetulkan dan perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” ujarnya.

Sebelum ini, Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa menafikan dakwaan Yasin mengenai bekalan dadah yang mudah diperolehi banduan semasa menjalani hukuman.

Jelasnya, pihak penjara sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ketat bagi memastikan bahan terlarang tidak membolosi institusi berkenaan.

Pada 2 September lalu, Yasin dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani rawatan dan pemantauan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Yasin sebelum ini bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Untuk rekod, pada 22 Ogos 2024, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadap Yasin selepas mendapati dia bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang membebaskan Yasin pada 29 November 2023.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 28 April 2025 melepas dan membebaskan Yasin daripada pertuduhan berkenaan serta memerintahkan dia ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.

Keputusan tersebut sekali gus mengetepikan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Yasin sebelum ini berdepan tiga pertuduhan iaitu memiliki kanabis seberat 193.7 gram, menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik berisi tanah serta menggunakan dadah berbahaya terhadap dirinya sendiri.

Artikel Lain