suria

Pertembungan PKR-DAP Untungkan BN

Dr Xavier Jayakumar
KUCHING: Pertembungan PKR dan DAP di enam kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang di kesemua enam kawasan berkenaan.


Jumlah undi diperoleh DAP-PKR berpecah kerana kedua-dua parti itu meletakkan calon untuk bertanding sesama sendiri di enam kawasan itu termasuk di tiga kerusi baharu - Batu Kitang, Mulu dan Murum, selain Mambong, Simanggang dan Ngemah.

Bertanding di 40 kerusi, PKR hanya mampu mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri lepas, iaitu di Ba'kelalan menerusi Pengerusi  PKR negeri Baru Bian, serta Batu Lintang dan Krian.

Bagi Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar, beliau kesal kerana DAP menyalahkan PKR beberapa jam selepas keputusan rasmi diumumkan, dan beliau menggesa agar perbalahan itu dihentikan serta-merta.

Beliau juga mendakwa prestasi PKR adalah lebih baik daripada DAP di kawasan-kawasan yang menjadi pertikaian itu.

"Jika semua fakta itu dibentangkan, ia boleh dilihat dengan jelas bahawa mereka (DAP) berada di belakang PKR di tiga kerusi yang menjadi pertikaian iaitu Mulu, Murum dan Simanggang," katanya dalam kenyataan, Ahad.

Beliau berkata adalah malang keadaan itu berlaku pada pilihan raya negeri kali ini, sambil menekankan bahawa pakatan politik memerlukan kerjasama untuk memperoleh keputusan yang terbaik.

"Adalah jelas kegagalan untuk bersatu merupakan faktor DAP hilang lima kerusi yang dikuasai sebelum ini, dan ia juga menyumbang kepada kekalahan di beberapa kerusi lain," katanya.
Dr Xavier Jayakumar, PRN Sarawak

Artikel Lain