suria

"Luar Jangkaan" - Adenan

MANDAT BAHARU...Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menunjukkan tanda kemenangan meraikan kejayaan BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 di Dewan Undangan Negeri Lama malam Sabtu. -fotoBERNAMA
KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata pencapaian Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Sarawak ke-11 adalah jauh di luar jangkaannya.

Beliau memberitahu persidangan media di sini bahawa ini kerana sebelum hari pengundian, beliau menjangkakan BN akan menang 65 atau 66 kerusi, tetapi menyaksikan BN kembali berkuasa dengan kemenangan yang begitu meyakinkan 72 kerusi daripada 80 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Sebaik BN diisytihar menang PRN-11 malam tadi Adenan yang berusia 72 tahun mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Pada persidangan media bersama Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak, Adenan berkata keputusan pilihan raya itu membuktikan DAP telah kehilangan sokongan di kawasan bandar.

Pengerusi BN Sarawak itu menarik perhatian kepada kemenangan BN di Batu Batu Kawah, Repok, Meradong, Dudong dan Piasau dan majoriti undi yang dikurangkan calon BN dalam kawasan yang masih dikekalkan pembangkang.

"Ini menunjukkan sokongan telah berubah kembali kepada BN. Kami juga banyak memperoleh undi popular," kata Adenan yang mengetuai kerajaan negeri buat pertama kali dalam pilihan raya sejak memegang jawatan ketua menteri dua tahun lepas.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata selain kehilangan sokongan di kawasan bandar, pembangkang juga gagal dalam usaha untuk menembusi kawasan luar bandar.

"Impian Sarawak (slogan DAP untuk mendapatkan sokongan) luar bandar adalah suatu kegagalan kerana ia suatu muslihat semata-mata," katanya.

Beliau berkata pengaruh yang dibawa Adenan telah mencipta vibe positif untuk menarik pengundi ke arah BN dalam pilihan raya ini.

"Rakyat telah melihat ketua menteri membawa banyak perubahan dan manfaat untuk mereka," katanya.

Artikel Lain