suria

Milton Foo Tarik Balik Kritikan Terhadap Adenan

Milton Foo
KUCHING: Calon daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo menarik balik kritikannya terhadap Tan Sri Adenan Satem, menyatakan bahawa Ketua Menteri Sarawak membuat pilihan terbaik untuk parti dan rakyat.

"Ia menunjukkan bahawa beliau adalah seorang ketua menteri yang baik untuk semua kaum di Sarawak. Kita semua bekerjasama dan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat dan memberikan apa yang menjadi milik rakyat Sarawak," katanya.

Ketika diminta mengulas mengapa beliau telah menulis surat mengkritik Adenan, Foo berkata, beliau tidak mahu mengulas apa-apa lagi kerana perkara itu kini telah selesai.

"Sekarang marilah kita memberi tumpuan kepada pilihan raya," katanya.

Foo berkata penyelesaian perkara itu menunjukkan bahawa Adenan adalah seorang pemimpin yang baik.

"Seperti yang anda lihat, beliau bersedia untuk menerima kritikan dan berdepan pandangan yang berbeza.

"Ini adalah jenis pemimpin yang diperlukan Sarawak," katanya.

Foo, yang akan bertanding kerusi Pending, berkata SUPP masih lagi sebahagian daripada Barisan Nasional.

Apabila ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan pembahagian kerusi, Foo tidak mengulas dan berkata bahawa beliau akan mengadakan sidang akhbar mengenai perkara itu 'pada masa yang sepatutnya'.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Foo melahirkan rasa kecewa dengan pemilihan calon yang dibuat oleh Adenan, mendakwa bahawa beliau telah melanggar perjanjian dengan memilih mereka tanpa berunding dengan parti-parti komponen BN.
SUPP, Milton Foo

Artikel Lain