suria

Suspek Penemuan Bom Dipercayai Pengedar Dadah

Tan Sri Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Dua suspek penemuan tujuh bom di sebuah kondominium di Damansara Perdana, dekat sini semalam, dipercayai pengedar dadah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurutnya suspek yang diburu adalah rakyat tempatan yang dikenali sebagai Ah Chong, 37, dan wanita berumur 39 tahun.

"Kita percaya mereka tiada kaitan dengan Daesh atau mana-mana kumpulan pengganas kerana ia lebih kepada kegiatan pengedaran dadah dan pinjaman wang," katanya dalam sidang media bersempena perhimpunan bulanan peringkat Bukit Aman di sini Isnin.

Dalam sidang media berasingan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata Polis Selangor dan Kuala Lumpur akan bekerjasama mengesan suspek berkenaan.

"Suspek mempunyai rekod jenayah lampau di kedua-dua negeri ini," katanya selepas majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Kajang di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Dalam serbuan di sebuah kondominium di Damansara Perdana pada pukul 4.30 pagi semalam, suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri.

Polis menemui tujuh bom tangan berbentuk mercun bersama alatan elektronik, dadah yang disyaki syabu seberat dua kilogram dan sejumlah pil Eramin 5 di dalam kondominium itu.

Siasatan awal polis mendapati suspek disyaki terlibat dalam kes pukul dan membakar rumah seorang individu di Sri Petaling kira-kira pukul 1.30 pagi semalam.

Artikel Lain