suria

Singapura, Thailand Akan Dijemput Jadi Pemerhati Rondaan Di Laut Sulu

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR: Malaysia bercadang menjemput Singapura dan Thailand untuk menjadi pemerhati bagi rondaan keselamatan di Laut Sulu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau telah mengutarakan cadangan itu kepada Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen dalam pertemuan bilateral mereka di sini hari ini.

"Sebelum ini kita pernah bekerjasama dengan Singapura dan Thailand dalam memantau aspek keselamatan di Selat Melaka, jadi saya percaya pendekatan ini boleh dilaksanakan berdasarkan pengalaman yang mereka miliki.

"Jika kita berjaya lakukan cadangan rondaan dengan Filipina, Indonesia, dan Brunei dengan Singapura dan Thailand sebagai pemerhati, saya rasa ini sumbangan besar daripada Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia terhadap keselamatan di Laut Sulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Keselamatan dan Pertahanan Malaysia (MDAS) pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)di sini.

Sabtu lalu, Hishammuddin mencadangkan kepada Menteri Pertahanan Filipina, Indonesia dan Brunei berhubung rondaan dan pemantauan udara bersama negara jiran bagi menangani kes lanun dan penculikan di perairan Laut Sulu.

Beliau berkata pendekatan itu, yang pernah dilaksanan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menangani kes lanun di Selat Melaka, telah berjaya mengurangkan kadar kegiatan lanun di perairan selat itu.

Ditanya sama ada kementerian ada mengenal pasti aset pertahanan yang mahu dimiliki sepanjang tempoh pameran berlangsung, beliau berkata ia tidak semestinya berlaku semasa pameran berlangsung, sebaliknya pembelian aset itu bergantung kepada ancaman negara.

"Kita kenal pasti aset dan pada masa sama kita perlu kenal pasti ancaman yang dihadapi berdasarkan sesi networking dengan negara-negara luar (di pameran ini)," katanya.

Hishammuddin berkata adalah menjadi keutamaan untuk mengenal pasti aset penting pertahanan kerana itu merupakan aset yang membantu memastikan keselamatan negara.

Pameran DSA 2016 bermula hari ini sehingga Khamis itu menyaksikan penyertaan daripada 60 negara.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain