suria

#APO 2016 : Chef Nik Michael 'Lari' Daripada Gosip

PETALING JAYA: Bergelar chef selebriti, Nik Michael tidak boleh lari daripada dunia glamor, tetapi dia seboleh-bolehnya mahu 'lari' jauh daripada gosip.

Nik Michael atau nama sebenarnya, Nik Michael Imran Nik Ezar, 26, berkata sebagai individu yang dikenali kerana masakan dan makanan, beliau lebih senang jika popularitinya dikaitkan dengan hasil kerjanya di dapur.

"Makanan dan masakan adalah keutamaan saya. Saya begitu ghairah apabila bercakap tentangnya.

"Mungkin saya dikenali, tapi saya bukan artis di mana gosip menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka. Dalam hidup saya, segala-galanya tentang makanan," katanya kepada mStar Online.

Nik Michael atau lebih senang disapa sebagai Nik tercalon dalam Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) bagi dua kategori iaitu Chef Selebriti Pilihan Online dan Lelaki Tampan Pilihan Dnars.

Bekas peserta program Masterchef Malaysia musim pertama ini berkata apabila bercakap mengenai populariti, beliau amat bersyukur kerana tidak dikenali secara mendadak.

"Saya tidak 'naik' mengejut. Saya bersyukur kerana mempunyai cukup masa untuk belajar menyesuaikan diri dalam dunia glamor.

"Takut juga, sebab tak ada sekolah yang kita boleh belajar untuk jadi orang yang dikenali," katanya yang gemar makan nasi putih bersama telur dadar, sup kosong dan sambal belacan ini.

Nik, berdarah kacukan Melayu-Inggeris (Australia) ini berkata tidak banyak yang dapat diperkatakan tentang kehidupan peribadinya berbanding kariernya sebagai tukang masak.

Katanya, bergelar chef selebriti, beliau menggalas peranan memberi inspirasi kepada orang ramai supaya teruja untuk memasak dan gembira menikmati makanan.

"Saya buat apa saja, bercakap, memasak, buat 'show' dan makan untuk masyarakat dapatkan manfaat daripada saya.

"Saya tak boleh paksa masyarakat untuk suka saya, saya hanya ikhlas dengan kerja saya. Saya percaya hanya dengan keikhlasan ia dapat diterima oleh masyarakat," ujarnya.

Mengenai perkembangan dirinya, Nik berkata beliau baru sahaja menutup restorannya PickNik yang terletak di Solaris Dutamas, Publika pada hujung Februari lalu kerana sambutan yang kurang memberangsangkan.

Selain itu, beliau juga baru selesai merakamkan program TV 13 episod yang akan ditayangkan pada bulan puasa nanti.

"Restoran itu ada lagi cuma tak dibuka kepada umum. Tempat itu kini dijadikan tempat memasak tempahan catering. Kalau ada rezeki, mungkin saya akan buka semula dengan konsep yang lebih sesuai," katanya.

Menamatkan zaman bujang dengan Siti Nadiah Shahril pada November 2015, Nik berkata seperti pasangan lain yang baharu menjalani kehidupan berumah tangga, beliau kini masih di peringkat belajar menyesuaikan diri dengan pasangan.

"Di rumah, memang isteri saya yang masak. Saya tak cerewet, siapa sahaja yang masak saya saya hargainya, lebih-lebih lagi orang yang saya sayang," katanya.

Mengenai saingannya dalam APO 2016, Nik berkata adalah sesuatu yang memberangsangkan apabila melihat anugerah seperti ini diketengahkan dan menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi.

"Ia menggembirakan saya. Kami perlukan lebih banyak pendedahan. Saya gembira melihat rakan-rakan saya turut tercalon ia satu persaingan sihat.

"Menang kalah kan adat bertanding, jadi sama ada menang atau kalah saya tetap gembira tercalon," katanya.

Orang ramai yang ingin mencalonkan Nik, artis atau selebriti pilihan mereka boleh melayari laman web khas iaitu  http://apo.mstar.com.my

APO2016 dianjurkan bersama mStar Online dan Suria FM dan dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi.

Ia akan disiarkan secara langsung pada 30 April depan menerusi TV2 pada pukul 9 malam bertemakan Glam Digital.

Artikel Lain