suria

Unisel bakal Terima Dana Baik Pulih Kampus Bestari Jaya

SHAH ALAM: Universiti Selangor (Unisel) bakal menerima dana daripada kerajaan negeri Selangor untuk membaik pulih dan menaiktaraf prasarana di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor, dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pihaknya telah mengenalpasti jumlah dana yang diperlukan oleh Unisel dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

"Saya telah melihat sendiri keperluan Unisel dan akan mengumumkan dana yang dipersetujui oleh kerajaan negeri dalam tempoh dua minggu ini," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke kampus di Bestari Jaya pada Khamis.

"Kita juga lihat beberapa bangunan fakulti yang perlu pembaikan dan naik taraf dan keperluan mendesak ICT (Teknologi Maklumat) seperti komputer yang perlu ditukar. Itu sahaja menelan belanja hampir RM25 juta," kata beliau.

Mohamed Azmin berkata dana berkenaan turut diperuntukkan untuk kebajikan warga pendidik di universiti yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Selangor.

Azmin berkata beliau dimaklumkan ramai pensyarah terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk mengecat bangunan dan melakukan beberapa baik pulih yang lain.

"Dalam keadaan ekonomi di Selangor yang kukuh dan baik ketika ini saya mahu sektor pendidikan diberi keutamaan khususnya di Unisel dan Kuis (Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor), sebuah lagi universiti milik kerajaan negeri)," katanya.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap beberapa perkara dibangkitkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Unisel melalui memorandum yang diserahkan kepada beliau hari ini.

Perkara yang dibangkitkan oleh MPP Unisel dalam memorandum antaranya menyemak semula yuran asrama yang ketika ini sebanyak RM200 serta cadangan untuk kerajaan negeri memberi subsidi nasi dan sayur.

Unisel

Artikel Lain