suria

Dua Taman Di Medan Imbi Dinaik Taraf

Mohd Najib diberi taklimat oleh Lee mengenai "Signature Park Programme".

KUALA LUMPUR: Bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan menambah kawasan hijau dalam landskap ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Think City Sdn Bhd menaik taraf dua taman di Medan Imbi baru-baru ini.

Inisiatif dikenali sebagai "Signature Park Programme" ini bertujuan mewujudkan lebih banyak kawasan taman di pusat bandar Kuala Lumpur, bermula dengan dua taman itu yang dikenali sebagai "Unitree" dan "Park and Play".

Pengarah Kuala Lumpur Think City Lee Jia Ping berkata, Kuala Lumpur memiliki banyak taman seluas kurang satu ekar yang berpotensi untuk dinaik taraf.

"Kami berharap, melalui bantuan masyarakat, tempat awam ini akan menjadi sebahagian penting daripada identiti Kuala Lumpur.

"Matlamat kami ialah untuk mewujudkan suasana ceria di kawasan berkenaan, di samping memahami cabaran yang dihadapi masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pengarah eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mohd Najib Mohd berkata langkah menaik taraf dua taman itu sejajar dengan matlamat DBKL untuk mengindahkan lagi ibu negara.

"Unitree" direka bentuk bagi tujuan rekreasi dan meditatif, manakala "Park and Play" pula ialah untuk masyarakat tempatan meneroka kawasan taman sambil berjalan kaki, berjoging, berbasikal dan bermain skating, sekali gus menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Artikel Lain