suria

Pecat Ahli Terlibat 'Deklarasi Mahathir' - Umno Bayan Baru

GEORGE TOWN: Umno Bahagian Bayan Baru mendesak Majlis Tertinggi (MT) Umno memecat keanggotaan individu termasuk pemimpin terlibat dengan 'Deklarasi Mahathir' kerana secara jelas menjatuhkan martabat parti.

Ketua UMNO bahagian berkenaan, Datuk Ir Mansor Musa berkata Jawatankuasa Disiplin parti perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menjatuhkan imej parti jika mahu Umno yang mempunyai perlembagaan, terus dihormati rakyat.

"Kami berpendirian teguh dan mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan kepimpinan dan memperjuangkan agama, bangsa dan negara secara konsisten dan istiqomah," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian berkelompok mesyuarat cawangan dalam Umno Bahagian Bayan Baru di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sangat tersinggung dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bersama segelintir bekas kepimpinan Umno yang secara terbuka bersepakat dengan pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri secara tidak demokratik.

Dalam pada itu, Anggota MT yang juga Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang merasmikan majlis itu berkata dakwaan bahawa Perdana Menteri telah hilang sokongan daripada parti sendiri adalah tidak benar sama sekali.

"Kenyataan itu tidak berasaskan realiti, apa yang ditunjukkan (sokongan) daripada Umno bahagian ini bukanlah satu paksaan tetapi yakin secara konsisten bahawa institusi presiden perlu dipertahankan," katanya.

Sementara itu, Pergerakan Wanita Umno Pulau Pinang turut menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Najib dan kesal dengan tindakan pihak yang bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Ketua Wanita Umno negeri, Senator Datuk Norliza Abdul Rahim berkata kebebasan bersuara dalam menyatakan sesuatu pandangan perlu dihormati, namun keterbukaan itu perlu tertakluk kepada adab dan etika parti terutama apabila melibatkan pemimpin tertinggi parti.

"Sebagai anggota Umno, kita tahu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara merupakan musuh utama kita dan mempunyai agenda menjatuhkan presiden parti dan menghuru-harakan negara sekali gus merosakkan kestabilan ekonomi," katanya.

Norliza juga menyifatkan tindakan kumpulan yang ingin menjatuhkan Perdana Menteri sebagai menjengkelkan dan cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar yang membelenggu negara.

Dr Mahathir Mohamad, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Lain