suria

Suami Isteri Dituduh Edar Dadah 247 Kg Di Jitra

JITRA: Sepasang suami isteri dihadapkan ke mahkamah Majistret Jitra pada Khamis di atas pertuduhan mengedar dadah seberat 247 kilogram, awal Mac lepas.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman Mohd Zain, 55, dan isterinya seorang warga Thailand Sophaporn Saengsiri, 44, didakwa mengedar dadah jenis cannabis seberat 247 kilogram pada 5 Mac lepas, di Jalan Teja 8/1, Taman Teja Changlun, Kubang Pasu.

Kedua-dua tertuduh mengangguk tanda faham terhadap tuduhan yang dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizzuddin Ramli dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pertuduhan ke atas mereka adalah di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J Savinder Singh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam J Shamsher Singh.

Majistret menetapkan sebutan semula kes pada 5 Jun depan sementara menunggu hasil laporan Jabatan Kimia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain