suria

Restoran Tomyam Ada Di Setiap Ceruk Semenanjung

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Populariti masakan Thai di negara ini sejak lebih tiga dekad lalu tidak dapat dinafikan sehinggakan pada hari ini  restoran tomyam wujud hampir di seluruh pelosok negara.

Di kebanyakan restoran biasa juga sekurang-kurangnya ada masakan Thai dalam menu hidangan yang mereka tawarkan kepada para pelanggan.

Dengan perkembangan ini, tidak hairanlah kini ada kira-kira 120,000 tukang masak warga Thai, terutamanya dari Selatan Thailand yang terlibat dalam perniagaan ini di Malaysia, menurut Persatuan Pemilik Restoran Tomyam Thai di Malaysia.

Persatuan itu juga mendakwa dianggarkan antara 5,000 hingga 6,000 restoran tomyam di negara ini diusahakan sendiri oleh warga Thai yang menggunakan khidmat tukang masak dari Thailand.

Persatuan Pemilik Restoran Tomyam Thai di Malaysia, ditubuhkan tiga tahun lalu dengan kerjasama Southern Border Provinces Administrative Centre (SBPAC) dan Kedutaan Thailand di sini.

Presiden persatuan itu, Chefri Malasae berkata sebagaimana yang dilaporkan dalam laman web Kedutaan Thailand di Kuala Lumpur, bahawa persatuan itu ditubuhkan dengan tujuan menjaga kebajikan dan membantu warga Thai yang bekerja di restoran tomyam di Malaysia.

Beliau berkata kebanyakan restoran tomyam di negara ini menggunakan khidmat tukang masak dari Thailand untuk menjamin keaslian rasa masakan Thai di restoran masing-masing.

Hidangan masakan Thai digemari oleh rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan faktor pendapatan lebih lumayan dari perniagaan ini telah menarik minat ramai tukang masak warga Thai untuk datang ke negara ini mencari rezeki, kata Chefri yang berasal dari Wilayah Songkhla, Selatan Thailand.

Chefri mendakwa sebahagian besar daripada restoran tomyam yang diusahakan warga Thai adalah di ibu negara dan di Selangor.

Tinjauan Bernama mendapati ada sebilangan daripada warga Thai yang kini menjadi tukang masak di restoran tomyam di sini datang ke Malaysia tanpa sebarang kemahiran dalam bidang ini namun pengalaman sebagai pekerja am di restoran berkenaan akhirnya menjadikan mereka sebagai tukang masak yang berkemahiran.

Ahmad Talik, 24, seorang tukang masak yang berasal dari Narathiwat, berkata beliau berasa bertuah diterima sebagai pekerja am di sebuah restoran tomyam di Kuala Lumpur, lapan tahun lepas.

"Waktu itu saya cuma menjalankan tugas sebagai pencuci pinggan mangkuk, pelayan dan pembantu tukang masak namun selepas tiga tahun bekerja, saya mula belajar memasak daripada tukang masak Thai di situ sehinggalah saya menjadi seorang tukang masak mahir pada hari ini.

Bandar besar ini menjadi sumber rezeki bagi saya, dengan kota yang besar ramai pelancong dari dalam dan luar negara memasuki Kuala Lumpur, menjadikan restoran tempat saya bekerja dikunjungi ramai," katanya.

Beliau yang bekerja di Restoran Wafa di sini, berasa senang hati dapat bekerja di Kuala Lumpur berbanding kerja di kampung halaman sendiri.

"Sekarang ini bekerja di negara sendiri sangat susah untuk mendapat pendapatan yang cukup untuk perbelanjaan. Saya berasa lebih senang bekerja di sini kerana pendapatan yang saya dapat sangat lumayan untuk belanja makan dan simpanan," katanya.

Artikel Lain