suria

Cadangan Tubuh Jawatankuasa Khas Hadapi Cuaca Panas

Seluruh negara dijangka mengalami fenomena Ekuinoks berikutan cuaca panas berpanjangan yang menyebabkan matahari berada tepat atas garisan Khatulistiwa. Keadaan panas dan kering yang melanda seluruh negara ini dijangka berlanjutan beberapa bulan lagi sehingga Jun depan.Foto: Bernama

PUTRAJAYA: Cadangan pembentukan sebuah jawatankuasa khasbagi membincangkan pelan tindakan bagi menghadapi cuaca panas dan kering akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Jumaat ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata jawatankuasa tetap perlu diwujudkan bagi memberi makluman kepada masyarakat mengenai tindakan yang perlu diambil memandangkan fenomena cuaca panas dan kering tetap berlaku dari semasa ke semasa.

"Kabinet akan menentukan sama ada jawatankuasa ini diletak di bawah kementerian ini atau Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi kerana kedua-dua kementerian mempunyai peranan berkaitan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas bagi membincangkan cuaca panas yang melanda negara, Rabu.

Mesyuarat itu turut melibatkan beberapa kementerian dan jabatan kerajaana ntaranya Jabatan Meteorologi, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Selain itu, katanya, cadangan garis panduan menyeluruh bagi menghadapi cuacapanas dan kering serta fenomena gelombang haba akan turut dibawa ke Kabinet,yang antara lain merangkumi langkah yang boleh diambil oleh orang ramai dalam merancang aktiviti harian termasuk mengenai penjagaan kesihatan.

Wan Junaidi berkata garis panduan itu juga melibatkan pelan tindakan untuk jabatan dan agensi kerajaan termasuk mengenai aktiviti persekolahan yang mungkin terjejas akibat cuaca panas.

"Gelombang haba terjadi apabila suhu di sesebuah kawasan meningkat kepada 35 darjah Celsius selama lima hari berturut-turut dan dua darjah di atas min suhu selama 20 tahun, atau 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut,"katanya.

Beliau berkata gelombang haba tidak terjadi di seluruh negara dan lokasinya akan dapat dikesan oleh stesen-stesen Jabatan Meteorologi.

Mengulas mengenai cuaca panas dan kering yang dialami di beberapa kawasan diseluruh negara ketika ini, Wan Junaidi berkata ia bukan disebabkan fenomena ekuinoks tetapi akibat fenomena El Nino yang dijangka berakhir menjelang pertengahan tahun ini.

Katanya terdapat lima kawasan yang mencatatkan suhu tertinggi iaitu Chuping, Perlis; Alor Setar, Kedah; Lubuk Merbau, Perak; serta Batu Embun dan Temerloh di Pahang.

Wan Junaidi berkata antara pertengahan Mac hingga pertengahan April ini, suhu di utara Semenanjung Malaysia boleh mencapai 40 darjah Celsius, manakala di kawasan lain boleh mencapai antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

Bagi menangani cuaca panas dan kering, beliau berkata beberapa tindakan telah diambil termasuk mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka di seluruh negara bermula 12 Januari lepas dan Prosedur Tetap Operasi Program Pencegahan dan Pengurusan Tanah Gambut Sering Terbakar.

Katanya pada tahun ini sehingga 14 Mac lepas, Jabatan Alam Sekitar mengesan 617 kes pembakaran terbuka di seluruh negara dengan 52 kes dikenakan kompaun dantiga kes disediakan kertas siasatan untuk diambil tindakan mahkamah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat pula melaporkan 6,893 kes kebakaran berlaku diseluruh negara melibatkan kebakaran kebun dan ladang, hutan, belukar serta sampah.

Selain itu, katanya, sehingga 15 Mac, sebanyak lima empangan mencatatkanparas air di bawah 50 peratus iaitu Empangan Labong, Johor sebanyak 14.4 peratus; Empangan Gemencheh, Negeri Sembilan (22.2 peratus); Empangan Bukit Kwong, Kelantan (31.5 peratus); Empangan Padang Saga, Kedah (35 peratus); dan Empangan Timah Tasoh, Perlis (40.8 peratus).-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain