suria

103 Pelajar Terima Biasiswa YPM Ke Jepun

Annuar (tengah) bersama sebahagian daripada pelajar-pelajar yang menerima biasiswa YPM untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun.

KUALA LUMPUR: Seramai 103 pelajar terpilih menerima biasiswa Yayasan Pelajaran Mara (YPM) bakal terbang ke Jepun bagi meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di 22 buah universiti terpilih.

Pelajar-pelajar tersebut merupakan Kumpulan 3 yang berjaya menamatkan pengajian diploma di Institut Perindustrian Mara-Jepun (MJII), Beranang, dengan 49 pelajar dalam bidangan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik manakala selebihnya dari Diploma Kejuruteraan Mekanikal.

Menurut Pengarah Program Pengajian Tinggi Malaysia Jepun (MJHEP), Mat Zailani Mat Nawawi, pada April pelajar-pelajar Kumpulan 1 bakal menamatkan pengajian masing-masing.

"Seramai 54 pelajar Kumpulan 1 MJHEP berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda bulan depan setelah berada di Jepun sejak 2012.

"Kumpulan 2 sedang mengikuti pengajian, manakala Kumpulan 3 akan berangkat secara berperingkat bermula Jumaat. Mereka akan  menyambung pengajian dalam bidang yang sama di sebelas buah universiti swasta dan 11 buah universiti awam di Jepun," jelasnya ketika di temui pada majlis Sesi Ramah Mesra dan Penyerahan Biasiswa Pengajian Ke Jepun Pelajar MJHEP Kump 3 pada Rabu malam.

Mat Zailani berkata, jumlah tajaan biasiswa kepada setiap pelajar adalah berbeza-beza.

"YPM membuat penilaian bahawa jumlah biasiswa adalah bergantung kepada jurusan serta universiti masing-masing. Jadi jumlah setiap pelajar adalah tidak sama," tambahnya.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi YPM Tan Sri Annuar Musa yang telah menyerahkan replika cek kepada pelajar-pelajar Kumpulan 3 ini.

Sebelum itu, Annuar turut menyampaikan nasihat kepada pelajar-pelajar tajaan YPM supaya memberi fokus terhadap pengajian dan tidak terlibat dengan sebarang agenda yang boleh memberi kesan kepada diri sendiri.

YPM, Jepun, MJHEP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain