suria

Megat Najmuddin Letak Jawatan Pengerusi Tribunal Siasatan Umno

Megat Najmuddin mahu memberi tumpuan terhadap rawatan penyakit kanser yang dihidapinya sejak setahun lalu.

PETALING JAYA: Selepas 14 tahun bersama Jawatankuasa Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas akhirnya meletakkan jawatan dua bulan lalu kerana masalah kesihatan.

Selaku Pengerusi Tribunal Siasatan Lembaga Disiplin parti, beliau yang disahkan menghidap penyakit kanser sejak setahun lalu perlu melalui proses rawatan rapi dari semasa ke semasa.

Kata Megat Najmuddin, keputusan untuk meletak jawatan itu dibuat tanpa sebarang paksaan atau mendapat tekanan pihak tertentu sama ada di dalam atau luar parti.

"Yang pasti, pengunduran saya tiada kaitan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, jauh sekali kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin atau mana-mana pemimpin tertinggi dalam parti.

"Masalah kesihatan adalah punca saya letak jawatan, hasrat itu disampaikan kepada presiden parti," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Kata pemimpin parti berusia 71 tahun ini, selain rawatan penyakit yang dihidapinya, kegiatan hariannya kini tertumpu kepada tanggungjawab dalam sektor korporat.

"Sepanjang tempoh bersama jawatankuasa disiplin parti dan seterusnya mengetuai tribunal siasatan, ramai kawan-kawan yang kena dakwa dan saat itulah yang beri tekanan kepada saya setiap kali perlu buat keputusan.

"Tetapi selepas meletak jawatan dalam jawatankuasa parti, saya kini lebih tenang dan dapat tumpukan sepenuh perhatian kepada hal-hal yang tidak terlalu berat," katanya.

Katanya, ketika menganggotai jawatankuasa disiplin parti yang bersifat bebas itu, kepentingan dan keutamaan Umno paling utama ketika melaksanakan tugas.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti siapa sama ada penggantinya akan dipertimbangkan di antara 22 ahli jawatankuasa berkenaan atau pihak lain.

Ditanya mengenai perkembangan politik semasa dalam Umno, beliau berkata, sebarang kenyataan melibatkan kepimpinan parti perlu mendapat perhatian dan pertimbangan presiden.

"Saya percaya Datuk Seri Najib matang dan akan membuat keputusan untuk kebaikan semua," katanya ringkas tanpa mahu mengulas lanjut.





Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain