suria

Tangguh Kahwin Usia Muda Jika Belum Sedia - Rohani

Rohani (kanan) bersama Judith St. George bergambar sempena kempen #endchildmarriage pada Majlis Pelancaran Pameran Gambar bertajuk 'Suara Gadis; Bersama Menentang Perkahwinan Kanak-Kanak' pada Khamis. Pameran berlangsung selama empat hari. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Perkahwinan di usia muda dalam kalangan kanak-kanak tidak digalakkan di negara ini kerana ia hanya akan memberi kesan terhadap perkembangan kesihatan dan psikologi mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata masyarakat dan ibu bapa harus sedar mengenai keadaan mental dan kesediaan fizikal apabila anak mereka mahu berkahwin pada usia muda.

“Kesedaran mengenai had dan mekanisme seksual untuk menangguhkan perkahwinan sehingga kanak-kanak itu benar-benar bersedia, perlu ditekankan.

“Anak perempuan dan lelaki perlu dididik tentang tanggungjawab apabila berkahwin di peringkat awal dengan berkongsi persediaan yang perlu ketika memasuki alam perkahwinan,” katanya pada majlis perasmian pameran foto ‘Girl’s Voices: Speaking Out Against Child Marriage’, di sini pada Khamis.

Menurut beliau, perkahwinan mempunyai banyak elemen seperti tanggungjawab bersama dan kedudukan kewangan yang stabil untuk menjadikannya ikatan yang indah.

Rohani berkata seseorang tidak harus melihat kelewatan sebagai sesuatu yang negatif terutama apabila mahu membina keluarga, tetapi bagi memastikan anak-anak berkahwin pada waktu dan umur yang sesuai.

“Jangan kita cemarkan keindahan institusi keluarga, keharmonian dan permulaan membina sebuah keluarga,” katanya.

Pameran empat hari di Berjaya Times Square yang bermula semalam dianjurkan kerajaan Kanada dengan kerjasama gabungan badan bukan kerajaan, Girls not Brides, akan berlangsung sehingga 28 Februari.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Judith St George berkata pameran tersebut menampilkan kisah gadis yang memperjuangkan hak mereka, dan anggota masyarakat memberi sokongan kepada perubahan mereka.

Judith berkata walaupun kadar tertinggi perkahwinan melibatkan kanak-kanak di Afrika dan Asia Selatan, tiada negara yang ‘kebal’ terhadap masalah tersebut termasuk di Malaysia dan Kanada.

“Menjadi harapan kami ia akan menggalakkan dialog mengenai perkahwinan kanak-kanak, dan memberi hak bersuara kepada mereka yang menghadapi masalah itu,” katanya. -  Bernama

Artikel Sebelum

Muhyiddin Berdepan Aduan Rasmi

Artikel Lain