suria

Zaid, Khalid Terus 'Berperang'

Datuk Zaid Ibrahim (kiri) dan Tan Sri Khalid Abu Bakar.
KUALA LUMPUR: Perang mulut antara bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Tan Sri Khalid Abu Bakar berterusan, dengan Zaid memberitahu Khalid supaya 'berhenti daripada memaksanya mengeluarkan kenyataan'.

Ketua Polis Negara telah memberi amaran kepada Zaid berkaitan posting di blognya di mana beliau telah memanggil satu pertemuan pada 27 Mac untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Khalid dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Khalid telah menegur Zaid, dengan berkata bahawa sebagai seorang peguam, beliau 'perlu tahu apa yang benar dan tidak dibenarkan' di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam perkara menukar Perdana Menteri.

"Dia akan berdepan undang-undang jika terus mahu mengadakan perhimpunan bulan depan," kata Khalid memberi amaran.

Sebagai tindak balas, Zaid, bekas menteri undang-undang telah meminta ketua polis supaya 'memahami bahasa Inggeris yang mudah'.

"Saya menulis dalam blog saya, 'marilah bersama-sama, marilah kita bertemu dan meminta Najib, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk meletak jawatan. Saya tidak pernah berkata tentang perhimpunan awam untuk memaksa penyingkiran Najib. Jangan paksa saya mengeluarkan kenyataan," kata Zaid ketika dihubungi, Ahad.

Beliau mengingatkan bahawa hak untuk berhimpun telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan meminta Khalid tidak memberi gambaran yang salah tentang undang-undang.

"Jika Najib dan rakan-rakannya boleh berkumpul untuk mencium tangannya, rakyat Malaysia yang lain juga boleh berkumpul untuk memberi pandangan mereka terhadap Perdana Menteri. Hak keamanan sudah termaktub dalam Perlembagaan.

"Jadi, saya tidak mahu Ketua Polis Negara untuk memberi gambaran yang salah tentang undang-undang, tugas beliau adalah untuk mempertahankan undang-undang. Beritahu dia bahawa dia tidak perlu bimbang, saya tidak akan melanggar mana-mana undang-undang. Saya merayu kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama, itu sahaja," katanya.

Zaid berkata, beliau menyeru pemimpin Malaysia - ahli politik, kakitangan awam atau pemimpin agama - untuk berhimpun pada bulan depan tetapi menegaskan bahawa beliau tidak dapat memastikan berapa besar perhimpunan itu akan berlaku.

Zaid melalui posting di blognya baru-baru ini menggesa rakyat Malaysia untuk menyokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah menjadi pengkritik tegar Najib, dengan menghadiri perhimpunan pada 27 Mac di tempat-tempat belum ditentukan.
perang mulut, KPN, Datuk Zaid Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain