suria

DRB-Hicom Labur RM150 Juta Lagi Bagi Universiti Automotif Malaysia

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) sebagai Canselor disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) menanam pokok simbolik perasmian DRB-HICOM University of Automotif Malaysia di Pekan, Ahad. Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Tan Sri Mohd Khamil Jamil (kanan). -fotoBERNAMA
PEKAN: DRB-Hicom Group Bhd menyuntik RM150 juta lagi pelaburan bagi pembangunan fasa kedua dan fasa tiga Universiti Automotif Malaysia yang berpangkalan di Pahang.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom dan Pengerusi University College Sdn Bhd Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata fasa kedua yang telah disiapkan kira-kira 20 peratus akan terdiri daripada bangunan penyelidikan dan pembangunan, blok kedua fakulti kejuruteraan dan perumahan untuk kakitangan universiti itu termasuk pensyarah serta kakitangan pentadbiran.

"Bagi fasa ketiga, akan terdapat kemudahan bilik pameran serta blok latihan praktikal untuk pelajar.

"Keseluruhan pembangunan kompleks dijangka siap antara dua dan lima tahun yang akan menampung kira-kira 7,000 pelajar," katanya kepada pemberita selepas perasmian Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom (DHU) di sini Ahad.

Perasmian DHU disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mewakili Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd Khamil berkata fasa pertama melibatkan pelaburan sebanyak RM350 juta  terdiri daripada bangunan pentadbiran, blok kejuruteraan pertama, blok untuk perniagaan dan pengurusan, dewan canselor, kampung kampus yang boleh memuatkan 2,400 pelajar.

"Pada masa ini, terdapat kira-kira 1,000 pelajar tempatan dan asing mendaftar di universiti itu manakala 718 pelajar yang telah tamat pengajian.

"Kami bersedia untuk mengambil lebih ramai pelajar asing dan pada masa ini hanya seorang dari Indonesia belajar di sini. Kami juga menerima pertanyaan dan permintaan dari China, Indonesia, Singapura, India, Timur Tengah dan Afrika yang berminat untuk datang ke sini tetapi kami perlu mempunyai semua kemudahan yang lengkap terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata kumpulan itu mahu memastikan kualiti serta standard pendidikan yang baik.

"Terdapat kira-kira 60 peratus siswazah bekerja dengan DRB-Hicom Group manakala baki 40 peratus dengan peserta industri lain," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh lima tahun akan datang, kumpulan itu menjangka mempunyai 3,000 dan 5,000 pelajar untuk melanjutkan pengajian mereka di kampus ini.

Universiti yang ditubuhkan pada 2010 sebelum ini dikenali sebagai Kolej Antarabangsa Automotif (ICAM) dan diberikan status Universiti oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada Oktober tahun lepas.

Setelah dinaik taraf, DHU kini antara yang pertama di ASEAN yang menawarkan program sarjana muda, ijazah sarjana dan peringkat doktor falsafah yang berkaitan dengan ekosistem automotif, termasuk pengajian mekanikal, perniagaan dan pengurusan.


DHU terletak berhampiran hab automotif serantau DRB-Hicom, yang menempatkan kompleks pemasangan automotif bersepadu terbesar di negara ini.

Artikel Lain