suria

Sebuah MRSM Dirancang Di Bintulu - Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
KUCHING: Sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sedang dirancang untuk dibangunkan di Bintulu, kira-kira 500km dari sini, dengan sasaran pengambilan pertama pelajar pada 2019.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata satu tapak sudah dikenal pasti di Bintulu bagi tujuan itu, dan pembinaannya akan dilaksanakan dengan kerjasama Petronas.
Beliau berkata Sarawak ketika ini mempunyai tiga MRSM iaitu di Kuching, Betong dan Mukah, yang sehingga kini memberi pendidikan cukup berkualiti kepada 7,000 pelajar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan sempena Sambutan 50 Tahun Mara peringkat Sarawak di Bangunan Mara Plaza Astana di sini Ahad.

Katanya banyak kejayaan dicapai Mara sejak ia melebarkan sayapnya ke  Sarawak dengan hasrat untuk membantu membangunkan ekonomi Bumiputera, lebih 50 tahun lepas.

Ismail Sabri berkata di Sarawak, Pusat Giat Mara sehingga kini berjaya melahirkan kira-kira 20,000 pelatih, manakala Institut Kemahiran Mara (IKM) pula telah menyediakan latihan kemahiran kepada 13,000 pelatih.

Dari aspek bantuan kewangan pula, katanya Mara telah menaja pengajian 20,300 pelajar dari Sarawak, membabitkan kira-kira RM621 juta sehingga kini, manakala dari segi bantuan dana, Mara sudah membantu 3,000 usahawan negeri ini, membabitkan peruntukan sebanyak RM600 juta.

Selain itu, beliau berkata Mara juga menyediakan 362 lot perniagaan khusus untuk Bumiputera di Sarawak sehingga kini, dan jumlahnya dirancang untuk ditambah pada tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain