suria

Pelancongan Perkahwinan Di Malaysia Mula Berkembang

Pelancong bergambar bersama pasukan tarian singa ketika program di Matic, Kuala Lumpur pada Rabu. foto S.S.KANESAN/The Star

KUALA LUMPUR: Pelancongan perkahwinan yang telah lama dipromosikan di luar negara sudah mula menampakkan hasil di Malaysia dengan hampir RM1 juta dibelanjakan dalam tempahan untuk majlis perkahwinan tahun ini.

Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (Mita) Uzaidi Udanis berkata semasa pameran Pelancongan Mita 2016 yang baharu sahaja menutup tirainya, menyaksikan Felda D'Saji - pemain terkenal dalam industri perkahwinan - mengaut keuntungan kira-kira RM900,000 dalam tempahan sepanjang tiga hari pameran tersebut.

Tempahan untuk majlis resepsi perkahwinan akan diadakan sepanjang tahun.

"Terdapat rakyat dari India termasuk jutawan yang memilih Malaysia sebagai lokasi untuk mengadakan majlis perkahwinan mereka," katanya kepada pemberita di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di sini, Rabu.

Uzaidi berkata cuaca panas sepanjang tahun di Malaysia dan nilai ringgit yang berpatutan antara faktor menarik pasangan untuk mengadakan majlis perkahwinan mereka di sini.

"Kecuali jerebu, kita diberkati dengan cuaca panas sepanjang hari berbanding di luar negara yang boleh dilanda ribut salji dan sebagainya," kata Uzaidi.

Walaupun pelancongan perkahwinan agak baharu di Malaysia, Uzaidi berkata terdapat banyak syarikat perancang perkahwinan yang sedia ada dan berwibawa yang boleh mengambil bahagian dalam pameran Mita yang akan datang.

"Syarikat-syarikat ini mempunyai kemudahan infrastruktur mereka sendiri, dewan dan lokasi. Apa yang mereka perlukan adalah promosi," katanya.

Mita turut menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan mencadangkan tiga bentuk insentif kepada Kabinet bagi menggalak syarikat dan agensi pelancongan membawa lebih banyak pelancong luar ke negara ini.

Ahmad Zahid berkata cadangan insentif pertama ialah mana-mana pegawai syarikat yang membawa pelancong dari luar negara diberikan elaun khas apabila mengadakan program promosi bersama Tourism Malaysia di luar negara.

"Ini adalah cadangan terbaik yang kami perolehi dalam tempoh tiga tahun lalu dan kami tidak sabar untuk mendapat manfaat itu," kata Uzaidi.

Pada Pameran Pelancongan Mita 2016 yang berakhir 31 Januari lalu, Uzaidi berkata lebih 12,508 pengunjung hadi ke pameran tersebut.

Kedah dan Terengganu menjadi destinasi domestik pilihan teratas di kalangan pelawat ke pameran tersebut.

Sejumlah RM1.6 juta dikumpul dalam jualan yang tidak termasuk RM900,000 dalam tempahan perkahwinan.


Mita, pelancongan perkahwinan

Artikel Sebelum

Artikel Lain