suria

Antara Kepentingan Diri Dan Hak Jemaah

Gambar Hiasan

ASSALAMUALAIKUM. Makkah mendung dan suhu ketika itu pada sebelah siang adalah sekitar 20 darjah Celcius. Memang nyaman dan selesa. Lazimnya, apabila cuaca dingin di Arab Saudi, Makkah selalunya tidak dingin. Tidak seperti Madinah yang suhunya pada Disember adalah sekitar 5 darjah Celcius.

Namun, kunjungan pada Disember 2015, cuaca sungguh indah dan tidak terasa peluh mengalir hatta ketika sedang mengerjakan tawaf. Malah, tidak keterlaluan dikatakan, ketika tawaf di mataf berbumbung tatkala menunggu solat Isyak, saya perlu memakai ‘shawl’.

Alhamdulillah tidak pula terdengar jemaah batuk-batuk atau selesema kecuali ada seorang dua jemaah saya yang demam seketika namun mereka masih gagah untuk mengerjakan solat berjemaah di Masjidil Haram.

Kami menginap di Hotel Retaj As-Safwah di Ajyad yang hanya berjarak kira-kira 180 meter ke dataran Masjidil Haram. Pintu King Abdul Aziz yang sering menjadi laluan masuk jemaah yang duduk di sekitar Ajyad, bagaimanapun ditutup kerana kerja-kerja pembinaan.

Justeru, kami memasuki pintu King Fahd yang menjadi tumpuan sebahagian besar jemaah. Jika hendak menunaikan solat di masjid, kita perlu keluar awal kerana pintu masuk akan ditutup lebih awal untuk memastikan mendapatkan tempat di dalam Masjidil Haram.

Setelah berziarah, jemaah banyak menghabiskan masa beribadat di masjid. Bagi mereka yang hendak menunaikan umrah sekali lagi, kunjungan ke Tana’im saya aturkan. Kami menaiki teksi untuk pergi ke Tana’im atau turut dikenali sebagai masjid Aisyah yang terletak kira-kira lapan km dari hotel penginapan kami.

Alhamdulillah, segala urusan berjalan lancar sehinggalah lagi empat hari hendak pulang ke tanah air saya mendapati makanan dihidangkan oleh pihak katering tidak mencukupi, sekali gus menimbulkan kemusykilan pada hati saya.

Saya tertanya-tanya kenapa makanan tidak cukup sedangkan sebelum itu semua tidak bermasalah. Jemaah semua dapat makan secukupnya biarpun terlewat pulang dari masjid, makanan tetap terhidang di meja bufet.



Saya bertanya pada petugas di dalam dewan makan kerana ada di kalangan jemaah, termasuk saya sendiri terpaksa makan sedikit atau membeli makanan di luar untuk mengalas perut. Mulanya saya fikir mungkin tiada rezeki.

“Pak kenapa makanan tidak cukup pagi tadi?” tanya saya.

“Tiada orang lain ambil buk,” balas beliau.

“Jika tiada siapa yang ambil, macam mana makanan untuk jemaah saya tidak cukup. Kami terpaksa makan sedikit saja,” ujar saya.

“Sudah berapa lama makanan tidak cukup?” tanya petugas dewan makan itu lagi.

“Sejak malam semalam. Saya nampak ayam goreng di meja bufet kami dibawa ke dewan makan sebelah ketika tazkirah sedangkan ada jemaah yang belum makan malam, “ ujar saya.

“Ramaikah yang tidak dapat makan?” tanya beliau lagi.

“Tidaklah ramai. Ada dua atau tiga jemaah saja. Jika pulang lewat tidak ada makanan atau makanan tinggal sedikit,” ujar saya lagi.

“Berapa ramai jemaah yang makan di sini buk?” tanya beliau lagi.

“Hanya 32 orang saja. Empat lagi menginap di Le Meridien dan mereka tidak makan di hotel ini,” balas saya penuh yakin.

“Hairan juga makanan jemaah ibu tidak cukup,” balas beliau lagi.

“Tidak mengapalah, saya hubungi pengurus katering nanti,” kata saya pula.

“Assalamualaikum Haji,” ucap saya.

“Waalaikumsalam,” balas Haji Adil.

“Raihanah ni,” maklum saya.

“Ya kenapa hajah. Makanannya macam mana?” tanya beliau.

“Makanannya sedap Alhamdulillah, hari-hari ada sambal belacan. Bagus begitu,” ujar saya.

“Alhamdulillah,” balas beliau.

“Haji, makanan tidak cukup sekarang ini…”ujar saya.

“Hah? Tidak cukup?” balas beliau dengan nada terkejut.

“Ya tidak cukup. Sebelum ini cukup tapi pagi tadi tidak cukup, tengah hari ini pun tidak cukup. Malam semalam pun ada lauk yang sudah habis cepat,” keluh saya lagi.

“Sudah banyak yang diberi. Macam mana tidak cukup,” soal beliau lagi.

“Entahlah saya pun hairan,” balas saya pula.

Pada malam itu tidak ramai jemaah yang makan di hotel dan sudah tentu makanan mencukupi. Namun, esoknya, sekembali dari masjid selepas solat Subuh saya dapati mihun yang disediakan pada pagi itu habis dan tinggal roti sahaja.

Saya ambil roti dan menyapu mentega kacang untuk mengalas perut selain membancuh Milo. Tidak lama selepas itu datang seorang jemaah saya dan terus makan roti seperti saya.



Tengah hari itu saya bergegas pulang dari masjid setelah selesai solat Zuhur berjemaah. Dewan makan belum terlalu ramai. Saya tidak mengambil makanan terlebih dahulu dan memerhati. Seorang demi seorang jemaah saya mengambil makanan.

Selepas satu jam masuk dua jemaah yang hanya saya kenali selepas tiga hari di menginap di hotel berkenaan. Mereka mengambil makanan dari meja bufet yang dikhususkan untuk jemaah saya. Tanpa segan silu dan perasaan bersalah mereka mengisi perut.

Tidak lama selepas itu, tiga jemaah saya masuk ke dewan makan. Dua jemaah hanya mengambil sedikit nasi manakala seorang lagi hanya mengambil ayam goreng dan sayur-sayuran kerana tiada lagi nasi yang berbaki.

“Eh cepatnya nasi habis,” ujar saya sambil menjengok periuk nasi.

“Nak ikutkan belum habis lagi waktu makan tengah hari kita tapi nasi habis lauk tinggal sikit,” ujar Hajah Roha.

“Itu yang saya hairan tu. Saya dah maklumkan pada petugas katering di dalam dewan ini sebab sejak semalam makanan kurang,” balas saya lagi.

“Ada orang lain ambil makanan kita ke?” tanya seorang jemaah saya.

“Entahlah. Tapi takkan mereka tak nampak tulisan yang tertera dalam A4 yang diletak di dinding tu. Sepatutnya tak boleh ambil,” ujar saya serius.

“Ada tulis ke?” tanya jemaah di depan saya dan biarlah saya kenali beliau dengan nama Hajah Siti saja.

“Di dinding tu. Besar tulisannya. Sepatutnya kena fahamlah untuk jemaah TM Tours sahaja,” sambil menunjukkan ke kertas A4 berwarna kuning tertampal di dinding.

“Di sebelah sana pula jemaah dari agensi lain. Memang selalu jemaah perlu mengambil makanan di meje bufet yang ada tertera nama agensi umrah mereka,” sambung saya lagi.

“Oh ye ke?” tanya beliau cemas.

“Awak dari mana?” tanya Hajah Roha pada Hajah Siti.

“Saya duduk di Hotel Azkar, hotel lima bintang depan sikit dari hotel ni,” balas Hajah Siti.

 “Hotel lima bintang tak ada dewan makan ke?” tanya Hajah Roha lagi.

“Ada besar dewannya tapi di situ masakan Turki dan mahal,” kata Hajah Siti.

Semua terdiam seketika. Fikiran saya mula melayang teringat kata-kata Hajah Siti ketika mula-mula bertemu saya di dewan makan Hotel Retaj Safwa.

Semua jemaah saya berlalu pergi kecuali saya, Hajah Siti dan seorang lagi rakan Hajah Siti. Hati saya tidak sedap kerana jemaah mula mengeluh dan memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu. Saya tidak berganjak dari tempat duduk saya dan tidak mengalihkan pandangan saya daripada Hajah Siti. Saya tahu dia terasa bersalah dan tidak sedap hati lalu bersuara.

“Hajah saya minta maaf dan tolong halalkan makan minum saya untuk beberapa hari di dewan makan ini ye,” rayu beliau.

“Kenapa?” tanya saya ringkas.

“Iyelah saya ambil makanan jemaah di sini,” ujar beliau dengan wajah bimbang.

“Emm. Nak buat macam mana. Perkara dah berlaku. Saya harap tidak berulang. Kasihan pada jemaah saya yang tidak dapat makan,” balas saya.

“Maafkan saya hajah dan kawan saya ini,” pinta beliau sekali lagi.

Saya sekadar mengangguk dan beliau terus berlalu meninggalkan saya di dewan makan itu. Setelah semuanya berlalu pergi, saya terus maklumkan kepada petugas dewan makan dan pengurus katering, Haji Adil mengenai masalah yang berbangkit.

Mereka terkejut dan tidak menyangka wanita itu sanggup berbuat demikian.

“Ibu kenal wanita itu?” tanya petugas dewan makan.

“Tidak kenal. Cuma kenal di sini dua tiga hari lalu. Dia sering makan di sini. Saya ingat dia juga ambil makan dari katering yang sama,” ujar saya.

“Tidak mungkin. Jika dia ambil dari katering yang sama, mesti saya dimaklumkan,” ujar beliau lagi.

Hajah Siti mendakwa dirinya sebagai pengendali umrah dari Klang, Selangor dan membawa berpuluh-puluh jemaah tetapi berterus terang dengan saya tidak mengambil makanan yang disediakan oleh Hotel Azkar kerana mahal.

Beliau menyapa saya ketika melihat saya sendirian makan tengah hari dan ketika itu dia mengambil makanan dari meja bufet agensi umrah yang turut menginap di hotel Retaj. Kisah Hajah Siti menimbulkan kehairanan kepada jemaah lain dan mereka menganggap beliau begitu berani berbuat demikian tanpa rasa bersalah.

Ikuti catatan kembara saya seterusnya pada minggu depan, insyaAllah.



mataf, tawaf, Celsius, TM Tours

Artikel Lain