suria

Empat Program Tajaan JPA Diteruskan - Najib

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA: Empat program tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tahun 2016 akan diteruskan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis.

Ketika mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 di sini Khamis, beliau berkata walau apapun yang berlaku, kerajaan tetap memberi jaminan dan komited terhadap ehwal pendidikan dan masa depan anak-anak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata empat program itu merangkumi Program Biasiswa Nasional bagi 20 pelajar terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka seluruh dunia.

Yang lain ialah:

* Program Khas Kejuruteraan bagi 200 pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis;

* Program Lepasan Bursary bagi 744 pelajar untuk mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Pertama di universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta di dalam negara; dan

* Pengambilan baharu seramai 8,000 pelajar akan diberi biasiswa untuk mengikuti pengajian yang ditetapkan di peringkat Ijazah Pertama dalam negara.

Najib turut mengumumkan bahawa peruntukan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM5 bilion akan terus disalurkan kepada mahasiswa.

Bagi memastikan pelaburan modal insan terus dipergiatkan, perdana menteri berkata Program MyBrain15, Skim Latihan Akademik Bumiputera dan Skim Latihan Akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akan diteruskan.

"Seramai 25,000 pelajar telah mengikuti pengajian di bawah program-program ini," kata perdana menteri.

Beliau seterusnya berkata kerajaan bersetuju dengan tambahan 15,000 pelajar baharu untuk program MyMaster, 5,000 pula untuk program MyPhD dan 300 untuk Skim Latihan Akademik IPTA untuk diberi tawaran.

Kesemua program itu akan diberi peruntukan tambahan RM300 juta. - BERNAMA

tajaan JPA, Najib Tun Razak

Artikel Lain