suria

Malaysia Perlu Siap Siaga Umpama Pergi Berperang Untuk Sertai TPPA - Senator

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu bersedia menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ibarat 'pergi berperang' bagi meningkatkan ekonomi negara sebagaimana kemajuan yang dicapai oleh negara lain.

Senator Datuk Adam Abdul Hamid berkata ini kerana perjanjian kompetitif itu berpotensi menarik lebih ramai pelabur asing dan membuka akses pasaran baharu untuk negara ini.

"Sampai bila nak cakap kita belum bersedia? Banyak negara lain yang semakin maju...ini ibaratnya seperti pergi berperang, kita tetap kena bersedia pada bila-bila masa," katanya ketika membahaskan usul penyertaan Malaysia dalam TPPA pada mesyuarat khas di Dewan Negara, Khamis.

Adam berkata penglibatan Malaysia dalam TPPA akan memberi peluang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memasarkan produk di peringkat antarabangsa selain membolehkan syarikat tempatan berkongsi pengkalan data yang sama dengan negara anggota.

"Mereka (PKS) juga dapat meningkatkan penyelidikan dan mencari lokasi pasaran yang maju dan pada masa sama produk halal dapat dipertingkat di pasaran antarabangsa melalui TPPA," katanya.

Selain itu, beliau berkata penglibatan Malaysia dalam TPPA juga dapat menghalang pihak tertentu dari terlibat dalam kegiatan pemusnahan alam sekitar.

Mengambil contoh pencemaran alam akibat perlombongan bauksit di Pahang,  berkata di bawah perjanjian itu, setiap negara anggotanya akan bertindak sebagai 'watch dog' atau pemerhati antara satu sama lain, sekali gus mencegah aktiviti yang tidak diingini.

"Saya sokong soal alam sekitar dimasukkan di bawah TPPA kerana ia dapat menjaga flora, fauna, halang penebangan hutan sesuka hati dan penangkapan ikan yang tidak terkawal," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia seharusnya berpandangan jauh seperti negara jiran, Singapura yang memiliki antara pelabuhan terbesar dunia sejak 30 tahun lalu.

Senator Datuk Dr Lucas Umbul ketika membahaskan usul yang sama meminta kerajaan mencari mekanisme dan perancangan dalam memasarkan penjenamaan produk tempatan ke peringkat antarabangsa menggunakan bahasa kebangsaan.

Wakil dari Sabah itu mencadangkan kerajaan menerusi kementerian berkaitan menyediakan garis panduan ketat bagi memastikan syarikat tempatan menggunakan Bahasa Melayu pada produk yang akan dipasarkan di luar negara.

"Kita dapat melihat contoh apabila kita melihat negara Jepun di mana di kedai-kedai produk mereka dijual murah dan mendapat sambutan hebat dengan hanya terdapat dalam tulisan Jepun tiada Bahasa Inggeris kecuali pada tajuk (produk) sahaja, tetapi ianya laris di pasaran malahan masyarakat Malaysia dapat menerima produk ini," katanya.

Lucas berkata produk tempatan yang akan dipasarkan di peringkat antarabangsa juga seharusnya mempunyai nilai dan kualiti tinggi bagi meningkatkan persaingan dengan negara anggota yang menyertai TPPA.

Sementara itu, Senator Datin Rahimah Mahamad menyambut baik penyertaan Malaysia dalam TPPA berikutan ia akan membuka peluang yang luas kepada kaum wanita termasuk usahawan dari Kelantan bagi memasarkan produk ke peringkat antarabangsa.

"Dalam penyertaan TPPA, wanita Kelantan yang menceburi bidang PKS dapat menikmati peluang membuat pilihan jualan barang perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa," kata wakil dari Kelantan itu.

Ini kerana, katanya kajian dan pandangan pakar mengatakan wujud kelebihan kepada rakyat Malaysia untuk menembusi pasaran antara negara anggota TPPA dengan lebih mudah dalam mengembangkan ruang perniagaan. - BERNAMA

TPPA

Artikel Berikut

Artikel Lain