suria

Pengubahsuaian Bajet 2016: Kesejahteraan Rakyat, Ekonomi Tetap Kukuh

PUTRAJAYA: Dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan ekonomi negara terus berada di landasan kukuh, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis membentangkan 11 langkah yang realistik untuk berdepan dengan cabaran ekonomi semasa dalam Pengubahsuaian Bajet 2016.

Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan beberapa inisiatif untuk memberi lebihan wang ke saku rakyat, menangani isu-isu kos sara hidup, meneruskan bantuan bagi golongan yang memerlukan serta merancakkan kegiatan ekonomi domestik demi manfaat rakyat.

Di hadapan kira-kira 1,000 hadirin, beliau menegaskan bahawa Malaysia "tidak dan bukannya" berada dalam kegawatan ekonomi mahupun 'technical recession'.

"Apa yang paling mustahak, pengubahsuaian dan penstrukturan ini, akan tetap teguh berpaksikan kepada dua tunjang iaitu memastikan pertumbuhan ekonomi terus kukuh atas landasan yang betul, dan keduanya, menjaga serta memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat," katanya.

Ke arah meningkatkan lebihan wang di dalam kocek rakyat, Najib mengumumkan pengurangan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja sebanyak tiga peratus mulai Mac tahun ini sehingga Disember 2017 selain pelepasan khas cukai sebanyak RM2,000 kepada pembayar cukai individu berpendapatan RM8,000 ke bawah sebulan untuk tahun taksiran 2015.

Bagi mengurangkan kos harga barangan keperluan harian rakyat, Najib mengumumkan meliberalisasi kawalan kuota import atau 'Approved Permits', bagi lapan produk pertanian terpilih untuk tempoh sementara bagi memastikan bekalan yang konsisten.

Antara produk pertanian termasuklah biji kopi mentah, daging kerbau, lembu dan kambing.

Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan (FAMA) pula akan membuka pasar belian terus hasil pertanian atau MyFarm Outlet yang menjual barang makanan seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan buah-buahan, dengan menawarkan harga jualan lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Bagi terus membela untung nasib para pesawah, serta meningkatkan pengeluaran padi, kerajaan menyediakan tambahan tunai sebanyak RM50 bagi setiap 1 tan metrik padi bersih, sebagai insentif input pengeluaran padi.

Najib, dalam pembentangan itu, turut mengumumkan pengenalan program MyBeras dengan setiap keluarga miskin tegar yang berdaftar akan dibekalkan dengan 20 kilogram beras setiap bulan.

"Kerajaan amat prihatin kepada golongan rakyat yang terkesan akibat kenaikan kos sara hidup, terutamanya golongan miskin tegar," katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai perumahan dengan mengumumkan berkuat kuasa serta-merta, kerajaan menetapkan kesemua penjualan rumah berharga sehingga RM300,000 bagi projek perumahan baharu, adalah terhad kepada pembeli rumah pertama sahaja.

Bagi Projek Perumahan Rakyat yang berharga RM35,000 pula, Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar empat peratus, dengan dana berjumlah RM400 juta, bermula 1 Mac ini.

Najib dalam pada itu turut memberi jaminan bahawa kerajaan komited terhadap ehwal pendidikan dan menegaskan bahawa empat program tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tahun ini diteruskan.


Artikel Lain