MEMILIH tempat mencari rezeki bukan sekadar melihat kepada jumlah gaji dan faedah berkaitan yang dinyatakan dalam surat tawaran, sebaliknya budaya kerja serta cara sesebuah syarikat menguruskan pekerja turut perlu diberi perhatian.Malah, terdapat beberapa perkataan serta frasa khusus yang kerap diucapkan penemuduga ketika sesi temu duga yang boleh menjadi petanda awal (red flag) sesebuah syarikat itu mempunyai budaya kerja toksik. Menurut perkongsian seorang kakitangan Sumber Manusia dikenali sebagai, Fatin Farhana, kerja wajar memberi perhatian terhadap beberapa ayat 'halus' ini sebelum terburu-buru menandatangani sebarang surat tawaran.Antaranya ialah penggunaan istilah 'family' bagi menggambarkan hubungan antara pekerja dan syarikat.Istilah tersebut boleh menunjukkan sempadan antara waktu bekerja dan kehidupan peribadi yang tidak begitu jelas, sekali gus berisiko membuatkan pekerja terpaksa menyelesaikan urusan pejabat di luar waktu kerja.Syarikat yang mempunyai budaya kerja sihat pula lazimnya menekankan keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan (work-life balance) serta kebajikan pekerja.Selain itu ayat seperti 'perlu buat lebih daripada job scope' juga boleh menjadi petanda syarikat tidak mempunyai perancangan tenaga kerja yang teratur dan sistematik.Keadaan tersebut boleh menyebabkan pekerja diberikan tanggungjawab tambahan di luar skop pekerjaan tanpa ganjaran yang setimpal.Selain itu, soalan yang bertujuan 'memperlekehkan' pengalaman bekerja di syarikat terdahulu dengan bertanya 'apa awak belajar di syarikat terdahulu' turut boleh menimbulkan persoalan.Pendekatan sedemikian boleh menjejaskan keyakinan calon ketika proses temu duga sebelum mereka membuat keputusan menerima tawaran pekerjaan.Penemuduga yang profesional sepatutnya lebih memberi tumpuan kepada pengalaman dan perkara yang dipelajari calon daripada pekerjaan terdahulu.Dalam pada itu, permintaan penemuduga supaya calon memulakan tugas pada keesokan hari secara mendadak juga merupakan satu lagi petanda amaran yang perlu diawasi.Keadaan tersebut mungkin menunjukkan proses pengambilan pekerja dilakukan secara tergesa-gesa tanpa persediaan yang mencukupi seperti surat tawaran, pemeriksaan kesihatan dan taklimat pekerjaan.Pekerja baharu juga berisiko berdepan tekanan sekiranya mereka melakukan kesilapan kerana belum mendapat penerangan yang mencukupi mengenai peranan dan tanggungjawab.Fatin turut mengingatkan pencari kerja supaya tidak terburu-buru menerima sesuatu tawaran hanya kerana memerlukan pekerjaan.Budaya kerja dan kesejahteraan mental juga merupakan perkara yang wajar dipertimbangkan sebelum seseorang membuat keputusan untuk menyertai sesebuah syarikat.