suria

PPO Tidak Boleh Semak Semula Keputusan Peguam Negara - Abdul Rahman

Abdul Rahman Dahlan.

PETALING JAYA: Panel Penilaian Operasi (PPO) yang dicadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai locus standi untuk menyemak semula keputusan Peguam Negara, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

"Saya adalah seorang ahli jawatakuasa khas untuk memantau SPRM pada 2008-2013. Sepanjang pengetahuan saya, PPO tidak mempunyai locus standi untuk menyemak semula keputusan peguam negara," kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam satu kenyataan di laman Twitternya pada Khamis.

Abdul Rahman yang juga Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN) mengulas mengenai kenyataan SPRM pada Rabu yang mahu merujuk keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi ALi berkaitan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion kepada PPO.

Beliau berkata PPO hanya boleh menyemak semula keputusan SPRM sama ada untuk menggugurkan siasatan yang sedang dijalankan sebelum suruhanjaya itu menyerahkan kertas siasatan kepada peguam negara dan tidak boleh mengkaji semula kes yang sudah dihantar kepada peguam negara.

Menurut beliau Terma Rujukan PPO jelas menyebut perkara tersebut.

"Peraturan baharu itu untuk menghalang SPRM daripada menggugurkan siasatan yang sedang dijalankan.

"Ini adalah pemerhatian saya terhadap Terma Rujukan PPO. Saya sedia diperbetulkan jika seseorang boleh membuktikan saya yang sebaliknya," kata Abdul Rahman.

Jelas beliau, semua pelantikan ahli PPO dicadangkan oleh Perdana Menteri.

"Jika mereka memutuskan untuk bersetuju dengan peguam negara, adakah mereka akan dipanggil konco Najib juga?," soalnya.

Sementara itu, Abdul Rahman turut membincangkan kedudukan Peguam Negara di negara lain dengan berkata bahawa di United Kingdom, peguam negara adalah bebas, dianggap sebahagian daripada kuasa eksekutif.

"Di AS, peguam negara diakui sebagai sebahagian daripada Kabinet," katanya.


PPO, SPRM, Abdul Rahman Dahlan

Artikel Lain