suria

Kementerian Pastikan Pembelajaran Siti Nuraisyah Tidak Terjejas

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Tajudin Jab (kiri) melawat mangsa kemalangan, Siti Nuraisyah Syahril, 13, yang putus kedua-dua belah kakinya digilis lori beberapa hari lepas, di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Khamis. Hadir sama Pengarah Pendidikan negeri Selangor, Zainuren Mohd Nor (kanan) dan ibu Siti Nuraisyah, Maimunah Mat Razali, 48 (dua kanan). Kemalangan ke atas Siti Nuraisyah berlaku semasa dia dalam perjalanan pulang dari sekolah di Parit 16, Sungai Panjang, Sungai Besar, Selangor -fotoBERNAMA
KLANG: Kementerian Pendidikan akan memastikan proses pembelajaran Siti Nuraisyah Sahrin, 13, tidak terjejas walaupun terpaksa bercuti panjang bagi menjalani rawatan pemulihan akibat kemalangan di Sabak Bernam, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata guru pelajar itu akan diminta mengajar semula subjek yang tertinggal sepanjang tempoh pemulihannya.

"Kementerian Pendidikan akan pastikan Siti Nuraisyah diajar kembali mana-mana subjek yang beliau tertinggal kerana kami mahu beliau dapat menguasai subjek yang diajar walaupun tidak dapat hadir ke sekolah.

"Saya juga sudah berbincang dengan pihak sekolah supaya meletakkan Siti Nuraisyah di kelas yang berada di tingkat bawah untuk memudahkan pergerakannya apabila beliau kembali semula bersekolah," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas selepas menziarahi Siti Nuraisyah yang putus kedua-dua belah kaki akibat digilis lori dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Ketika kejadian, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sabak Bernam, itu dan kakak tirinya, Shamin Amirah Roslan, 14, yang menunggang motosikal bergesel dengan sebuah kereta menyebabkan mereka hilang kawalan dan terjatuh.

Sebuah lori pasir dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu menggilis kedua-dua kaki remaja berkenaan, manakala Shamin Amirah yang tercampak ke bahu jalan terseliuh kedua-dua kakinya.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa yang turut melawat mangsa menggesa kerajaan menyediakan bas percuma di kawasan yang kurang perkhidmatan pengangkutan awam.

Ini menyebabkan sebilangan pelajar terpaksa menaiki motosikal untuk ke sekolah, katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan HTAR Dr Edmund Das berkata keadaan Siti Nuraisyah stabil dan dijangka dibenarkan keluar dari hospital minggu depan.

"Dia menunjukkan perkembangan positif dan kita jangka akan pulih sepenuhnya dalam tempoh enam bulan lagi...cuma buat masa ini dia tidak berapa ingat apa yang telah berlaku kepadanya.


"Jika tiada sebarang halangan mungkin dia boleh bersekolah semula selepas pulih dari kecederaan sepenuhnya," katanya.

Artikel Lain