suria

Kabinet Setuju Tiga Daripada Empat Cadangan Transformasi Parlimen - Azalina

PUTRAJAYA: Kabinet telah bersetuju dengan tiga daripada empat teras cadangan pindaan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi pelaksanaan transformasi Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata teras cadangan yang diterima dalam mesyuarat Kabinet semalam adalah pindaan berkenaan pertanyaan-pertanyaan jawab lisan, mewujudkan Kamar Khas dan mewujudkan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Bagaimanapun, katanya Kabinet membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan teras pindaan keempat iaitu mewujudkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan yang baharu.

"Cadangan tersebut ditangguhkan sehingga ahli-ahli Jawatankuasa Kabinet tersebut selesai membuat kajian pelaksanaan sistem Jawatankuasa-Jawatankuasa  Pilihan di Parlimen negara-negara lain seperti di Australia, Kanada dan United Kingdom.

"Hasil awal kajian ini dijangka diketahui sebelum persidangan Dewan bermula pada 7 Mac 2016 nanti," katanya dalam kenyataan, Khamis.

Azalina berkata cadangan bagi pelaksanaan transformasi Parlimen itu akan dirujuk semula kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan bagi mendapat persetujuan anggota-anggota Dewan.

Keputusan untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri mengenai pindaan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Ketua Whip Barisan Nasional pada 7 Januari lepas. -- Bernama


Artikel Lain