suria

Nouvelles Visages Rancang Buka Tiga Lagi Idol Spa KBS-NV

Nori (depan, dua, kanan) memotong riben merasmikan Idol Spa KBS-NV disaksikan Khairy (belakang, dua, kanan) dan Saravanan (belakang, kanan) serta Kavitha (kanan) dan Rita (depan, dua, kiri). Foto Bernama

PUTRAJAYA: Nouvelles Visages (NV) merancang untuk mewujudkan tiga lagi cawangan Idol Spa, selain berhasrat membuka peluang kepada kementerian yang berminat untuk bekerjasama dengannya bagi merealisasikan projek berkenaan.

Pengarah Urusannya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari berkata, setakat ini, cawangan pertama dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi pembabitan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) beroperasi di Menara KBS di sini sejak Disember lalu.

“Sambutan orang ramai terhadap Idol Spa amat mengalakkan walaupun baharu sebulan dibuka. Terdapat rancangan untuk membuka dua atau tiga lagi cawangan tetapi di pihak kami sedang mencari lokasi strategik yang  bersesuaian.

“Berdasarkan sambutan positif ini, kenapa tidak kementerian lain turut membuka Idol Spa,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Idol Spa KSB-NV di Menara KBS di sini, Khamis.

Ia dirasmikan oleh Penaung Puspanita cawangan KBS, Nori Tun Abdullah yang juga isteri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Turut hadir ialah Khairy dan timbalannya, Datuk M. Saravanan bersama isteri, Datin V. Kavitha. 

Nama Idol daripada Idol Spa KBS-NV bermaksud ‘Industrial Development of Learning’, yang merupakan kerjasama strategik di antara KBS menerusi IKBN dengan NV

Beliau yang lebih dikenali sebagai Rita Sosilawati berkata, ia adalah kerjasama pintar di antara industri dan kementerian dalam pelaksanaan pembelajaran yang menepati kehendak pasaran industri.

“Ia merupakan satu program latihan untuk peserta IKBN yang mengikut suasana keperluan sebenar dalam industri. Latihan mereka di semua IKBN dan ‘on job training’ mereka dilakukan di sini (Idol Spa),” katanya.

Selain mengaplikasikan pembelajaran kemahiran dalam suasana keperluan pekerjaan sebenar di industri, objektif penubuhan Idol Spa KBS NV ialah memberi perkhidmatan kepada umum berdasarkan keupayaan kepakaran yang dipelajari.

Ia turut memupuk budaya keusahawanan di kalangan graduan IKBN.

Artikel Lain